Panduan Penulisan Skrip - Siri 2

Rabu, Jun 18, 2008


Struktur Linear Lakon Layar

Paradigma adalah sebuah model, corak dan skema konseptual. Di dalam erti kata yang mudah, paradigma adalah asas kebiasaan kepada sesuatu. Sebagai contohnya, ialah meja. Rata-rata kita mengetahui bahawa meja mempunyai empat kaki. Biar bagaimana pun bentuk meja tersebut, sama ada bulat, bujur, memanjang mahupun empat segi, kesemua meja sememangnya mempunyai empat kaki.

Rata-rata kita telah diajar di sekolah konsep membuat karangan. Cikgu kita telah mengajar kita bahawa struktur yang perlu ada di dalam karangan itu adalah PENGENALAN, ISI dan KESIMPULAN. Ini adalah struktur bagi sesebuah cerita. Setiap cerita itu mesti ada konsep ini untuk melengkapkannya. Inilah struktur linear yang menjadi paradigma bagi sesebuah cerita.
Struktur Linear adalah asas yang menjadikan sesebuah cerita itu berdiri. Begitu juga dengan LAKON LAYAR. Di dalam sesebuah LAKON LAYAR struktur linear yang menjadi paradigmanya adalah PERMULAAN, KONFRONTASI dan RESOLUSI. Ia adalah struktur yang tetap dan sememangnya tidak boleh diubah lagi.

Di dalam keterangan di bawah saya akan menjelaskan konsep struktur tersebut dengan mengikut format Screenplay FINAL DRAFT. Dengan menggunakan format ini, konsepnya sangat mudah. Anggaran perkiraan minit bagi setiap skrip itu adalah SATU HALAMAN bersamaan dengan SATU MINIT.

Andaikan durasi standard bagi sesebuah filem itu ialah 120 minit. Ini bermakna skrip anda haruslah mempunyai 120 halaman.

PERMULAAN

Permulaan bagi sesebuah filem itu boleh diolah dengan pelbagai cara yang kita rasakan menarik. Pada kebiasaannya permulaan ini akan mengambil masa 30 minit. Di dalam permulaan yang dikenali sebagai SETUP ini, menjadi tanggungjawab kepada penulis skrip untuk melakarkan perjalanan pembukaan cerita yang menarik. Ini adalah untuk memberikan pemahaman kepada penonton berkenaan apakah cerita yang kita buat itu.

Pada kebiasaannya, apabila kita menonton sesebuah filem itu kita akan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk membuat penilaian sama ada kita suka sesebuah filem itu ataupun tidak. Apabila sesebuah filem itu bermula, pada 10 minit yang pertama ini kita juga harus memperkenalkan WATAK UTAMA di dalam cerita itu dengan cara yang paling menarik. Ini bertujuan untuk menarik minat penonton untuk mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Pada akhir permulaan ini terdapat sebuah titik plot I. Titik plot yang pertama adalah pencetus kepada konflik yang akan berlaku berikutnya. Dalam erti kata lain titik plot yang pertama ini adalah satu insiden atau kejadian yang akan menganjakkan filem ini untuk terus ke hadapan. Pada kebiasaannya ia berlaku pada minit / halaman yang ke 25-27.

KONFRONTASI

Ia merupakan bahagian yang paling besar di dalam LAKON LAYAR. Pada kebiasaanya terletak pada halaman 30 hingga ke 90. Pada asasnya kita telah mengetahui bahawa asas dramatik di dalam filem itu adalah KONFLIK. Konfrontasi ini adalah konflik yang berlaku selepas tercetusnya titik plot yang pertama.

Di dalam KONFRONTASI ini kita bertanggungjawab untuk meletakkan perjalanan konflik / plot utama / subjek dengan cara yang penuh dramatik bersesuaian dengan konsep cerita yang kita bina itu. Harus tidak dilupa juga sub plot yang akan mewarnai perjalanan sesebuah filem itu agar ia menjadi lebih menarik dan tidak membosankan.

Sekiranya kita terlalu tertumpu kepada plot utama sesebuah cerita di dalam penulisan kita, ini akan menjadikan sesebuah filem itu amat membosankan penonton. Asasnya mudah, plot utama itu adalah sayur yang kita hendak masak. Sub plot pula adalah perencah atau bahan-bahannya. Jika tidak ada rencahnya manakan masakan kita itu menjadi sedap?

Setelah itu, kita akan bertemu dengan TITIK PLOT II yang pada kebiasaannya berlaku pada minit yang ke 85-90. TITIK PLOT II ini berfungsi sebagai pencetus kepada RESOLUSI. Senang kata biasa yang kita tengok dalam filem bila Si Hero mendapat idea untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Hehehe…

RESOLUSI

Resolusi biasanya tercetus selepas TITIK PLOT II berlaku. Biasanya pada minit yang ke 90 hingga ke 120. Ini adalah kesimpulan kepada cerita. Kita harus memikirkan bagaimanakah sesebuah cerita itu berakhir. Persoalan yang selalu dimainkan adalah apakah yang berlaku kepada watak utama?

Garapan pengakhiran yang perlu dibuat haruslah mempunyai nilai dramatik yang baik. Ini bertujuan untuk memberikan kesan yang mendalam kepada penonton. Sebaiknya pengakhiran sesebuah cerita itu haruslah sesuatu yang diluar jangkaan penonton.

*Penerangan

Namun begitu, apa yang saya terangkan di sini adalah paradigma biasa bagi sesebuah filem. Perlu kita ketahui juga, terdapat juga segelintir pengarah yang mengubah konsep ini. Sebagai contoh tentu kita pernah menonton drama VICE VERSA terbitan ACE MOTION PICTURES.
Di dalam drama ini, Pengarahnya iaitu Aziz M.Osman telah menggunakan satu teknik yang dikenali sebagai Teknik NON-LINEAR yang bertentangan dengan konsep Struktur Linear biasa ini. Cerita di dalam drama itu juga dapat digarap dengan baik dan menarik. Bagi saya itu satu idea yang bijak dari Aziz M.Osman.

*p/s: Betulkan jika saya silap… Kita sama-sama belajar….

*Akan datang… kenali SUBJEK dan WATAK…

Terima Kasih

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

11 ulasan:

Maizura Mohd Ederis berkata...

Salam.

Sy mmg ambil kira format 1 minit=1 mukasurat. Saya biasa tulis 40 mukasurat untuk drama 45 minit. Masalahnya, skrip sy semuanya over-run sampai 10 minit. Ada yg jadi sampai 60 minit setelah di shoot! Bagaimana ini boleh terjadi?? Pada mulanya sy menyangka ia berpunca dari kelemahan sy sbg penulis baru. Kemudian, saya dengar skrip penulis berpengalaman juga over-run. Sy ada baca dlm suratkhabar, Rosyam Nor kata dia biasa buat 15 babak saja untuk drama 30 minit. Hanya untuk drama Takdir Yang Terindah, dia buat 25 babak untuk jadikan "fast cut" spt telenovela asing. Maknanya Rosyam Nor mengira babak, bukan mukasurat. Ahmad Idham pula menyuruh saya buat 70 babak sahaja utk telemovie 90 minit, sedangkan skrip telemovie sy semuanya 90 mukasurat krn mengambil kira 1 minit=1 mukasurat.

Kebykan pengarah mengira durasi berdasarkan babak, bukan mukasurat. Cth : untuk setengah jam,mrk kata buat lah 20 babak kalau babak tu pendek2. Tp kalau babak tu panjang, buat 17 babak.

Masalahnya, babak saya semuanya pendek2. Jarang ada babak yang lebih dari 1 mukasurat. Jadi, utk drama sejam misalnya, saya buat 40 mukasurat, tetapi babaknya melebihi 40 iaitu sekitar 40-45 babak.

Soalannya, kita mahu kira berdasarkan mukasurat, atau babak?

Harap dapat berikan maklumbalas tentang masalah ini. Sy (mak) budak baru belajar....

Oh ya, vice versa bg sy berjaya menunjukkan kematangan aziz dalam berkarya.

Sekiranya berkesempatan, tontoni Tangisan Bulan Madu, TV2 setiap Selasa & Rabu, jam 9 mlm. Renjis di Astro Ria, setiap Rabu, jam 6.30 ptg/9.30 mlm.

TKS, WASSALAM.

Zaini Kosnin (Iniaz, K.) [B.Comm (Hons)] UUM. berkata...

Waalaikumusalam Puan.

Terima kasih kerana sudi melawat blog ini dan bertanya. Saya faham permasalahan puan dan ini adalah masalah biasa yang penulis skrip hadapi. Keterangannya adalah seperti berikut:-

1) BUDAYA KERJA

Sebelum Malaysia diperkenalkan dengan format FINAL DRAFT, kita mempunyai pelbagai format dan teknik sehingga wujudnya pelbagai jenis format dan gaya penulisan. Ketidakseragaman ini telah menyebabkan kesukaran Pengarah untuk membuat jangkaan kiraan minit. Maka untuk memudahkan kerja mereka menggunakan teknik mengira mengikut babak dan ini telah menjadi budaya kerja sesetengah daripada kita. Perkara ini sememangnya tidak salah.

2) GAYA & TEKNIK PENGARAHAN

Kadang kala masalah over run ini timbul bukan kerana skrip, tetapi kerana teknik penggambaran yang pengarah gunakan. Ada sesetengah dari pengarah yang amat suka bermain dengan senimatografi untuk menjadikan perjalanan drama/filem menjadi menarik.

3) KEKELIRUAN PENULIS

Percaya atau tidak sebagai seorang penulis kadang kala kita terkeliru dengan BABAK. Seringkali kita terkeliru dengan kerana tidak dapat membezakan di antara BABAK dengan SUB-BABAK. Kalau orang kampung saya cakap antara SCENE and SUB-SCENE.

Pada kebiasaannya saya menulis sebuah telemovie dengan 68 hingga ke 75 scene TIDAK termasuk SUB-SCENE. Sekiranya dikira termasuk dengan SUB-SCENE, jumlah keseluruhannya adalah 100 hingga ke 105 scene. Jumlah muka surat tetap pada 90 muka surat (Kalau Untuk Astro Biasanya Lebih Sedikit).

Lagipun sebenarnya di Malaysia ini tidak terlalu menitikberatkan perkara-perkara seperti ini. Sebaik-baiknya penulis berbincanglah dengan pengarah. Sama ada penggunaan perkiraan BABAK atau pun perkiraan MUKA SURAT, ia adalah sesuatu yang TIDAK SEMESTINYA. Sebenarnya ia adalah sesuatu KAEDAH untuk kita membuat perkiraan. Supaya kita tidak lari dari landasan yang sebenar.

Dengan adanya teknik ini, kita dapat tahu bahawa jika TELEMOVIE kita mesti ada sekurang-kurangnya 70 scene dalam jumlah 90 muka surat. Begitu juga dengan drama episod. Kita tidak boleh menyatakan dengan tetap kerana ia terlalu subjektif. Kalau kita buat telemovie dengan 70 scene tapi semuanya pendek-pendek pun tak guna juga, atau pun 70 scene tapi terlalu panjang pun masalah juga.

Apa yang ada sebenarnya hanyalah satu garis panduan supaya kita tidak lari dari matlamat asal. Ia hanyalah satu kaedah untuk memudahkan cara. Jadi sebagai seorang penulis kita tahu sekiranya kita telah mencapai 90 muka surat tetapi kita masih di menulis di scene yang ke 30, itu bermakna kita sedang menghadapi masalah besar. Atau mungkin kita telah menulis 70 scene tetapi kita baru sampai pada muka surat yang ke 45 itu bermakna kita juga sedang menghadapi masalah besar.

Dengan adanya kaedah anggaran scene dan muka surat ini maka kita lebih mudah untuk mecari KESEIMBANGAN di dalam penulisan kita. Jangan terlalu lebihi / kurang muka surat atau terlalu lebih / kurang scene. Ingat, ia adalah untuk KESEIMBANGAN.

Saya harap Puan memahami apa yang saya maksudkan. Jika ada yang puan terkeliru atau tidak faham, boleh bertanya lagi. Terima kasih kerana sudi bertanya.

Sama-sama kita belajar. Semoga terus cemerlang… Amin…

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Ajami Hashim berkata...

best-lah baca otai2 bberbincang :-).. saya tengok dr jauh ajer dulu coz BELUM officially jd PENULIS SKRIP.. lagi! lagi! lagi!

Zaini Kosnin (Iniaz, K.) [B.Comm (Hons)] UUM. berkata...

Tak kisah kalau nak berbincang sama... tak kiralah... asalkan ada minat.

Saya teringat tentang satu iklan dalam hot.fm tu, yang dia kata kalau kita 3 orang dengan epal 3 biji, dibahagi sama rata bermakna kita ada seorang sebiji epal. Tapi jika kita ada 3 orang, kita ada seorang satu idea bermakna setiap seorang akan mendapat 3 idea...

Jadi, marilah kita berkongsi ilmu dan idea. Lagipun idea dan ilmu kita ni semuanya milik Allah s.w.t, apa yang kita duk sibuk nak sorok-sorok... Ilmu yang disebarkan dan dimanfaatkan pahalanya berterusan sampai bila-bila tau...

Mudah-mudahan kita dapat manfaat darinya... Amin...


Salam

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Maizura Mohd Ederis berkata...

tks byk2 Zaini. Maklumat yg sungguh berharga. Selepas ni sy akan pastikan skrip sy tak over-run lagi.

sham_arma berkata...

bestnya baca perbincangan ini. bnyk maklumat dan idea. thanks semua.

Tanpa Nama berkata...

salam saudara zaini,
saya amat berminat untuk menulis skrip tv tetapi saya tidak punyai kemahiran itu. di mana dapat saya ikuti kursus pendek untuk mempelajari kemahiran ini?

munirah berkata...

assalamualaikum, mohon pandangan saudara berkenaan skrip animasi..

Zetty Izzati berkata...

Assalammualaikum, bagaimana cara untuk mendapatkan software Final Draft tuh? Saya biasa guna microsoft word sj..
Minta beri penerangan, terima kasih. :)

Ai Rish berkata...

salam. boleh terangkan apakah beza adegan dengan babak. mcm mana pula dengan sub-babak.bagaimana mahu mengira babak atau jumlah babak yg ada dlam sesebuag drama atau filem?

irina malek berkata...

asalam, saya baru hendak berjinak2 dalam penulisan skrip ni, saya seorang yg suka beriimeginasi.kadanga2ianya datang secara spontan lebih2 lagi ketika makan berseorangan. maka saya terbawa sama mengikutinya. ada yg berbentuk realiti kehidupan, fantasi dan juga aksi. kalau lah saya ni berkecimpong dalam penulisan skrip sudah berpuloh2 dapat saya hasilkan malah lebih lagi.tapi apakan daya. cita2 tidak kesampaian. jadi persoalan ialah hagaimana caranya supaya dapat diadaptasikan imeginasi tersebut hingga menjadi sebuah skrip yg lengkap. kadang2 terhenti separuh jalan sja. bagaimana cara terbaik untuk expand lagi cerita tersebut, harap dapat penjelasan.tq.