Doa Anda Yang Saya Harapkan

Ahad, Jun 29, 2008

Salam Penuh Terhormat Buat Pembaca dan Rakan-rakan Sekelian,

Minggu lalu adalah minggu yang paling menggembirakan buat saya. Setelah sekian lama saya nantikan akhirnya masanya tiba jua. Sesungguhnya dia berita yang paling menggembirakan di dalam hidup saya selain daripada mendengar pengesahan seorang Doktor Pakar Bedah Orthopedic yang menyatakan bahawa saya boleh mula BELAJAR BERJALAN di Unit Fisioterapi. (Alhamdulillah…)
Kegembiraan itu hanya Allah s.w.t saja yang tahu. Selama dua tahun setengah saya menunggu kata-kata itu keluar dari mulut setiap Doktor Pakar yang merawat saya. Terasa seksanya menanti kata-kata itu selama dua tahun setengah. Paling memedihkan apabila terpaksa mengharungi pembedahan sebanyak tujuh kali. Berulang-alik masuk ke dewan bedah itu, bukanlah satu perkara yang menggembirakan. Hanya Allah s.w.t saja yang tahu bagaimana perasaan ini.
Selama ini apabila saya menjalani rawatan di fisioterapi cumalah sekadar mengangkat kaki, meniarap, membengkokkan lutut dan asas-asas untuk mengekalkan kekuatan otot.

Menitis air mata kesyukuran dari kelopak mata ini apabila penantian saya selama dua tahun setengah ini berbaloi. Pada ketika itu saya terus teringat bahawa saya telah mengirimkan doa kepada Abang Khalil dari Asia Best yang telah pergi menunaikan UMRAH minggu lalu. Saya mendapat sms dari beliau ketika beliau berada di Tanah Suci menyatakan bahawa beliau telah pun berdoa untuk saya. Saya yakin bahawa doa beliau untuk saya telah dimakbulkan. (Alhamdulillah…). Pada ketika itu juga hati saya terdetik, ‘Ya Allah… Sekiranya ketika ini aku mampu sujud kepada-Mu pastinya aku akan terus sujud kepada-Mu… Namun apakan daya… Aku hanya mampu melafazkan syukur kepada-Mu Ya Allah…’
Saya juga yakin bahawa doa-doa dari keluarga saya dan rakan-rakan sekelian juga adalah penyumbang kepada berita gembira ini. Saya benar-benar yakin bahawa doa kita selama ini telah dimakbulkan. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga dan saudara mara saya terutama Ayahanda Kosnin Bin Padil yang selama ini tidak pernah berputus asa menjaga saya, Ibu yang selalu mendoakan, adik beradik, Along, Angah, Kak Ana, Kak Ida, Epol, Ezzad dan Adik Shah serta kakak-kakak dan abang-abang ipar saya. Pengorbanan kalian amat saya hargai.

Tidak lupa juga kepada Tn. Hj. Fadzil Teh dan En. Bobby dari Zeel Production, Abang Khalil dari Asia Best Comm. Tn. Hj. Ghani dan Kak Pah dari Productive Impact, Abang Rosdi (Awe) Editor, Abang Zulkiflie M.Osman, Miss Gina Lahre dan Kak Yong dari Shooting Star Media, Abang Umar Ariffin, Abang Hambali dan isterinya dari Pentas Opera, Puan Rohayah Ibrahim dari Astro, rakan-rakan dari RTM, TV3, Astro dan TV Pendidikan serta ramai lagi rakan-rakan produksi yang lain. Terima kasih di atas bantuan dan doa kalian selama ini. Saya amat menghargainya. Bantuan dan doa dari kalian adalah amat berharga bagi saya.

Buat sahabat yang paling akrab Nassarudin Abd. Rasif dan isterinya Kak Has, rakan-rakan staf di Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi, , Cik Bahiyah, En. Azahari. En. Noor Azman, En. Syukur, En. Shubhi, En. Hafidz Hussien, Puan Norsiah, En. Bahtiar, En. Zaini Nasri, En. Harun, Abang Bakar Driver, En. Khalid M.A, Abang Jamal, Abang Man dan Rizal UMHSB, dan ramai lagi yang berada di UUM, seluruh warga UUM sama ada staf, mahasiswa mahu pun bekas mahasiswa terutama bekas pelajar komunikasi Sopiah, Shima dan Iekin yang selalu menghilangkan kebosanan diri ini, juga saya ucapkan ribuan terima kasih di atas doa dan bantuan kalian.

Sahabat-sahabat lama, Hairizan (Vam), Cikgu Shahrul Fata, Cikgu Lanz (Fauzi), Rem, Bulat, Abang Fadzlie MS, Rozaiman, Fauzi Ramli, Cidin dan semua rakan-rakan sekelian. Terima kasih jua saya ucapkan.

Kepada Peguam saya yang terbaik, Tetuan Agusti, Ismadi dan Karu, terima kasih kerana membela saya selama ini. Bantuan dari tuan amat saya hargai.

Paling penting adalah kepada semua Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani yang telah berusaha untuk menyelamatkan saya pada malam kejadian kemalangan bertarikh 12 Disember 2005, Anggota Polis dari Balai Polis Sungai Petani, Unit Ambulance dari Hospital Sungai Petani, Kakitangan dan Doktor Hospital Kepala Batas, Hospital Seberang Jaya, Hospital Besar Pulau Pinang, Hospital Jitra, Hospital Besar Alor Setar, Hospital Pakar Pantai Pulau Pinang, Hospital Kluang, Johor dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kakitangan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru terutama di Klinik dan Wad Orthopedik. Doktor dan Jururawat di situ adalah yang terbaik. Saya amat menghormati kalian semua yang telah menyelamatkan nyawa dan hidup saya.

Maaf sekiranya ada nama yang tidak tercatat di sini kerana terlalu ramai… Namun begitu, percayalah kalian semua tetap di hati saya.

Sekali lagi saya ingin meminta agar kalian dan rakan pembaca sekelian dapat terus doakan kesihatan dan kesejahteraan saya. Apa yang saya harapkan ialah mudah-mudahan apabila saya mula BELAJAR MELANGKAH, segalanya akan berjalan dengan lancar. Tidak sabar saya rasakan untuk memulakan langkah yang pertama. Semoga doa kalian akan sentiasa mengiringi saya. Meskipun saya tahu ianya sukar, namun saya yakin yang saya boleh melakukannya. Mudah-mudahan saya berjaya dan dapat berjalan semula seberapa cepat yang mungkin.

Semoga kalian semua sentiasa di bawah perlindungan, mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Amin...

‘Sesungguhnya tiada perkara yang lebih indah di dalam dunia ini melainkan saya dapat berjalan semula seperti dulu’…
Terima kasih

Salam hormat penuh kasih sayang sesama insan…

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

12 ulasan:

Eridzhuan Zhaieno berkata...

Alhamdulilah....mudahan dengan iktiar dan izin Allah s.w.t....anda bisa pulih seperti sedia kala.

uShop berkata...

Sy doakan anda pulih sepenuhnye!!

iEn berkata...

Insyallah.. anda pasti boleh berjalan semula..

dakchomey berkata...

alhamdulilah.. kesabaran selama ni membawa hasil..bleh taw sinopsis cite impian zanita and takbiratul ihram?

Zaini Kosnin (Iniaz, K.) berkata...

Kepada eridhuan,ushop, ien dan dakchomey, terima kasih saya ucapkan di atas doa awak semua. Saya turut mendoakan kesejahteraan rakan-rakan semua.

Sinopsis cerita impian zanita dan takbiratul ihram akan saya masukkan tidak lama lagi.

Terima kasih kerana sudi mengunjung...

cemut berkata...

syukur.. :)
moga awak bleh bjalan seperti biase yer nanti.
kuat kan semangat ok
sy pun akan doakan ntuk awak

DUN Behrang 2020 berkata...

Sesungguhnya saudara dipilih oleh Allah SWT untuk diuji keimanan dan kesabaran dan ternyata saudara mampu mengharunginya...sentiasa ingat kepada Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...kami sahabat2 saudara akan sentiasa mendoakan kesejahteraan saudara.

Bonda Humaira berkata...

bukan ke Allah akan menguji hamba yg dikasihiNya.. pada saya, saudara bertuah kerana dikasihi Allah.. jgn putus asa,kuatkan semangat dan ingatlah yg saudara bukan berseorangan dlm mengharungi dugaanNya ini.. :)

Sarah Mohd Shukor berkata...

salam bro. terkejut jga sy baca kisah ni. tak sangka bro dh lalu sampai 7 kali pembedahan. sy tau kesukaran yg perlu dilalui n kegembiraan dpt memulakan fisioterapi mestilah tak dpt diluahkan dgn kata2. semoga segalanya dipermudahkan Allah. semoga proses pemulihan berjalan dgn lancar dan cepat. teruskan menulis!

anTusufi berkata...

Salam utk semua..

Ingatilah..

Bahawa..musibah itu kifarah kpd timbunan dosa..

Bahawa..musibah itu 'jalan pintas' utk ke maqam yg lebih mulia di sisi Pencipta..

Sabar dan redha, itu kuncinya...

Aku juga mendoakan kesejahteraan buat saudara Zaini.

Zaini Kosnin (Iniaz, K.) berkata...

Salam terhormat buat cemut, dun behrang, bonda humairah, sarah dan antusufi...

Terima kasih kerana sudi melawat dan memberikan kata-kata peransang kepada saya... kata-kata anda ini sememangnya membuatkan saya bertambah bersemangat...

Alhamdulillah... semoga anda semua sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah selamanya...

Salam...

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Tanpa Nama berkata...

hi...tumpang kejap. boleh jalan kah?

Rohayah Ibrahim mcm pernah dgr nama ni...dia ni sore Doraemon BM kan?