‘Jalan Pintas Ke Neraka’ di TV3

Isnin, Jun 30, 2008

3 ulasan
Telemovie Terbaru Terbitan Zeel Production

Telemovie arahan Mohd Feroz Abd. Kadir yang menampilkan pelakon-pelakon handalan seperti Rita Rudaini, Eizlan Yusof, Remy Ishak, Maimon Mutalib, Radzali Buyong dan Nurul Akma, ‘Jalan Pintas Ke Neraka’ adalah sebuah lagi ‘buah tangan’ Zeel Production untuk peminat setia slot Cerekarama di TV3.

Nantikan kemunculannya pada Sabtu ini jam 10.00 malam di TV3. Saksikanlah telemovie hebat ini yang skripnya dihasilkan oleh Sofia J.Rhyland yang terkenal dengan drama bersiri JELMA yang telah disiarkan di gua.com.my.

Jangan terlepas untuk menyaksikannya kerana drama dan telemovie terbitan Zeel Production pastinya hanya yang terbaik.

Doa Anda Yang Saya Harapkan

Ahad, Jun 29, 2008

12 ulasan
Salam Penuh Terhormat Buat Pembaca dan Rakan-rakan Sekelian,

Minggu lalu adalah minggu yang paling menggembirakan buat saya. Setelah sekian lama saya nantikan akhirnya masanya tiba jua. Sesungguhnya dia berita yang paling menggembirakan di dalam hidup saya selain daripada mendengar pengesahan seorang Doktor Pakar Bedah Orthopedic yang menyatakan bahawa saya boleh mula BELAJAR BERJALAN di Unit Fisioterapi. (Alhamdulillah…)
Kegembiraan itu hanya Allah s.w.t saja yang tahu. Selama dua tahun setengah saya menunggu kata-kata itu keluar dari mulut setiap Doktor Pakar yang merawat saya. Terasa seksanya menanti kata-kata itu selama dua tahun setengah. Paling memedihkan apabila terpaksa mengharungi pembedahan sebanyak tujuh kali. Berulang-alik masuk ke dewan bedah itu, bukanlah satu perkara yang menggembirakan. Hanya Allah s.w.t saja yang tahu bagaimana perasaan ini.
Selama ini apabila saya menjalani rawatan di fisioterapi cumalah sekadar mengangkat kaki, meniarap, membengkokkan lutut dan asas-asas untuk mengekalkan kekuatan otot.

Menitis air mata kesyukuran dari kelopak mata ini apabila penantian saya selama dua tahun setengah ini berbaloi. Pada ketika itu saya terus teringat bahawa saya telah mengirimkan doa kepada Abang Khalil dari Asia Best yang telah pergi menunaikan UMRAH minggu lalu. Saya mendapat sms dari beliau ketika beliau berada di Tanah Suci menyatakan bahawa beliau telah pun berdoa untuk saya. Saya yakin bahawa doa beliau untuk saya telah dimakbulkan. (Alhamdulillah…). Pada ketika itu juga hati saya terdetik, ‘Ya Allah… Sekiranya ketika ini aku mampu sujud kepada-Mu pastinya aku akan terus sujud kepada-Mu… Namun apakan daya… Aku hanya mampu melafazkan syukur kepada-Mu Ya Allah…’
Saya juga yakin bahawa doa-doa dari keluarga saya dan rakan-rakan sekelian juga adalah penyumbang kepada berita gembira ini. Saya benar-benar yakin bahawa doa kita selama ini telah dimakbulkan. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli keluarga dan saudara mara saya terutama Ayahanda Kosnin Bin Padil yang selama ini tidak pernah berputus asa menjaga saya, Ibu yang selalu mendoakan, adik beradik, Along, Angah, Kak Ana, Kak Ida, Epol, Ezzad dan Adik Shah serta kakak-kakak dan abang-abang ipar saya. Pengorbanan kalian amat saya hargai.

Tidak lupa juga kepada Tn. Hj. Fadzil Teh dan En. Bobby dari Zeel Production, Abang Khalil dari Asia Best Comm. Tn. Hj. Ghani dan Kak Pah dari Productive Impact, Abang Rosdi (Awe) Editor, Abang Zulkiflie M.Osman, Miss Gina Lahre dan Kak Yong dari Shooting Star Media, Abang Umar Ariffin, Abang Hambali dan isterinya dari Pentas Opera, Puan Rohayah Ibrahim dari Astro, rakan-rakan dari RTM, TV3, Astro dan TV Pendidikan serta ramai lagi rakan-rakan produksi yang lain. Terima kasih di atas bantuan dan doa kalian selama ini. Saya amat menghargainya. Bantuan dan doa dari kalian adalah amat berharga bagi saya.

Buat sahabat yang paling akrab Nassarudin Abd. Rasif dan isterinya Kak Has, rakan-rakan staf di Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Nordin Kardi, , Cik Bahiyah, En. Azahari. En. Noor Azman, En. Syukur, En. Shubhi, En. Hafidz Hussien, Puan Norsiah, En. Bahtiar, En. Zaini Nasri, En. Harun, Abang Bakar Driver, En. Khalid M.A, Abang Jamal, Abang Man dan Rizal UMHSB, dan ramai lagi yang berada di UUM, seluruh warga UUM sama ada staf, mahasiswa mahu pun bekas mahasiswa terutama bekas pelajar komunikasi Sopiah, Shima dan Iekin yang selalu menghilangkan kebosanan diri ini, juga saya ucapkan ribuan terima kasih di atas doa dan bantuan kalian.

Sahabat-sahabat lama, Hairizan (Vam), Cikgu Shahrul Fata, Cikgu Lanz (Fauzi), Rem, Bulat, Abang Fadzlie MS, Rozaiman, Fauzi Ramli, Cidin dan semua rakan-rakan sekelian. Terima kasih jua saya ucapkan.

Kepada Peguam saya yang terbaik, Tetuan Agusti, Ismadi dan Karu, terima kasih kerana membela saya selama ini. Bantuan dari tuan amat saya hargai.

Paling penting adalah kepada semua Anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani yang telah berusaha untuk menyelamatkan saya pada malam kejadian kemalangan bertarikh 12 Disember 2005, Anggota Polis dari Balai Polis Sungai Petani, Unit Ambulance dari Hospital Sungai Petani, Kakitangan dan Doktor Hospital Kepala Batas, Hospital Seberang Jaya, Hospital Besar Pulau Pinang, Hospital Jitra, Hospital Besar Alor Setar, Hospital Pakar Pantai Pulau Pinang, Hospital Kluang, Johor dan setinggi-tinggi penghargaan buat Kakitangan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru terutama di Klinik dan Wad Orthopedik. Doktor dan Jururawat di situ adalah yang terbaik. Saya amat menghormati kalian semua yang telah menyelamatkan nyawa dan hidup saya.

Maaf sekiranya ada nama yang tidak tercatat di sini kerana terlalu ramai… Namun begitu, percayalah kalian semua tetap di hati saya.

Sekali lagi saya ingin meminta agar kalian dan rakan pembaca sekelian dapat terus doakan kesihatan dan kesejahteraan saya. Apa yang saya harapkan ialah mudah-mudahan apabila saya mula BELAJAR MELANGKAH, segalanya akan berjalan dengan lancar. Tidak sabar saya rasakan untuk memulakan langkah yang pertama. Semoga doa kalian akan sentiasa mengiringi saya. Meskipun saya tahu ianya sukar, namun saya yakin yang saya boleh melakukannya. Mudah-mudahan saya berjaya dan dapat berjalan semula seberapa cepat yang mungkin.

Semoga kalian semua sentiasa di bawah perlindungan, mendapat keberkatan dan keredhaan Allah s.w.t. Amin...

‘Sesungguhnya tiada perkara yang lebih indah di dalam dunia ini melainkan saya dapat berjalan semula seperti dulu’…
Terima kasih

Salam hormat penuh kasih sayang sesama insan…

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Panduan Penulisan Skrip - Siri 3

Rabu, Jun 25, 2008

0 ulasan
SUBJEK

Apa itu SUBJEK? Setiap kali kita ingin memulakan penulisan, apa yang terlintas difikiran kita? Jawapannya pastilah cerita apa yang kita nak buat. Seterusnya kita akan terfikir siapa watak di dalam cerita kita itu. Kemudian kita terfikir pula kenapa dan bagaimana ia berlaku. Akhir sekali kita akan memikirkan bila masanya ia berlaku.

Di dalam pencarian SUBJEK, persoalan ini biasa berlaku dan sememangnya sering kali terlintas di dalam fikiran kita. Namun begitu, apa itu subjek? Adakah kita tahu? Ya, kita sebenarnya telah pun tahu apa itu subjek. Subjek ialah cerita apa yang hendak kita tulis di dalam skrip kita. Ia sebenarnya memperihalkan tentang AKSI dan WATAK. Ia juga dikenali sebagai PLOT.

Saya suka mengambil contoh sebuah filem arahan Mamat Khalid yang bertajuk ‘Zombie Kampung Pisang’. Jika kita menonton file mini, apa subjek yang kita nampak. Subjeknya sangat jelas bagaimana Orang Kampung (WATAK) menangani permasalahan kampung mereka yang diserang Zombie (AKSI).

Namun begitu, memikirkan SUBJEK ini sebenarnya adalah satu perkara mudah kerana kita boleh mendapatkan subjek ini dari mana-mana seperti melalui pembacaan, menonton berita, pengalaman diri, pengalaman rakan dan sebagainya. Apa yang menjadikan ianya sukar ialah bagaimana kita ingin menggarap subjek ini dengan elemen-elemen dramatis untuk menjadikan ia menarik. Ini yang selalu membelenggu pemikiran penulis.

Kebanyakan penulis mengetahui tentang apa yang hendak mereka tulis ini di dalam keadaan samar-samar. Ini menjadikan mereka sering kali terhenti apabila sampai di separuh jalan. Kemudian mereka akan merasa putus asa dan terus berhenti menulis.

Sebab itu amat penting kita membuat lakaran subjek kita dahulu. Buat storyline yang akan menjadi panduan supaya kita tahu apa yang hendak kita tulis. Jika kita nak mudah, kita boleh menggunakan kaedah graf atau peta minda. Lakukan ikut kreativiti kita sendiri.

Ketahui subjek kita dengan jelas kerana jika kita tidak tahu cerita apa yang kita hendak buat, kita nak mengharapkan siapa lagi untuk mengetahuinya?


WATAK

Di dalam melakarkan subjek, WATAK merupakan satu elemen penting yang perlu ada di dalam subjek itu. Tanpa WATAK, subjek tidak akan lengkap kerana kita memerlukan WATAK dan AKSI untuk melengkapkan subjek.

Rata-rata kita telah tahu apa itu watak, kerana kita adalah watak di dalam hidup kita dan merupakan satu watak di dalam dunia ini. Di dalam menghasilkan skrip, sebagai seorang penulis, tanggungjawab kita ialah MEMBINA WATAK yang akan memainkan peranan di dalam LAKON LAYAR kita.

Kita perlu memahami watak utama di dalam cerita kita. Saya suka mengambil contoh di dalam filem arahan Mamat Khalid yang berjudul MAN LAKSA. Ini adalah contoh yang paling mudah. Soalannya siapakah WATAK UTAMA di dalam filem itu? Tentulah Man Laksa yang utama, seterusnya kita lihat pula watak-watak yang terlibat di dalam filem tersebut dan bagaimana mereka memainkan peranan mereka. Cuba kita kenal pasti setiap watak-watak yang muncul di dalam filem tersebut.

Perlu kita ingat di sini bahawa di dalam usaha kita membina watak di dalam cerita kita, perkara yang paling asas ialah kita perlu kenali watak tersebut dan bagaimana sikap serta pengetahuannya. Segalanya perlu logik dan seelok-eloknya berkaitan dengan cerita. Jangan sekadar kita membina watak itu mengikut kesukaan kita.

Kita lihat pula contoh di dalam filem BULI arahan Afdlin Shauki. Bagaimana karektor yang ada pada watak utama iaitu Nordin, dari segi fizikal, gaya, cara, sikap dan segalanya yang ada pada dia jelas menunjukkan bahawa Nordin di dalam filem itu adalah seorang yang tidak mempunyai keyakinan diri dan sememangnya wajar diBULI. Kenapa Afdlin Shauki tidak meletakkan watak Nordin itu sebagai seorang yang macho lagi gagah perkasa? Sebab orang yang macho dan gagah perkasa, ada ke sesiapa yang berani nak buli? Inilah yang digelarkan sebagai LOGIK WATAK.

Jadi, sebelum kita melakar terus cerita kita, pembinaan watak ini tidak harus kita ketepikan kerana Watak inilah yang akan memainkan Aksi untuk membentuk Subjek.

Terdapat dua jenis watak iaitu Protagonis dan Antagonis. Protagonis adalah watak baik dan Antagonis pula adalah watak jahat. Filem BULI adalah salah satu filem yang jelas perbezaan watak Protagonis dan Antagonisnya. Begitu juga dengan filem Man Laksa. Cuba tonton filem ini semula dan lihat bagaimana mereka memainkan watak mereka.

Jika kita ingin membina watak cuba kita kaji tiga perkara penting di dalam watak terdahulu.

1) Profession - Apakah pekerjaannya? Pekerjaan mestilah bersesuaian dengan cerita kita. Sebagai contoh di dalam filem BULI, Nordin bekerja sebagai seorang programmer di Syarikat IT. Kenapa? Kenapa Afdlin tidak memperkenalkan Nordin sebagai seorang yang bekerja di bidang lain? Jawab sendiri setelah kita melihat filem ini sekali lagi.

2) Personal - Adakah watak tersebut masih bujang? Atau pun telah berkahwin? Lihat sekali lagi di dalam filem MAN LAKSA, kenapa MAN LAKSA masih bujang? Sebab apa Mamat Khalid tidak meletakkan Man Laksa sebagai seorang yang dah berkahwin.

3) Peribadi - Apakah sifat-sifat yang ada di dalam diri watak? Pada masa lapang, apa yang gemar dilakukan oleh watak? Adakah dia suka mengumpul setem? Kalau ya, apa kaitannya dengan cerita yang kita buat itu? Kita lihat pula filem ‘Baik Punya Cilok’ arahan Afdlin Shauki. Apa hobi watak utama di dalam cerita tersebut dan cuba kita fikirkan, apa kaitannya faktor peribadi watak di dalam filem tersebut.

4) Keperluan Dramatik - Apakah yang ingin dicapai oleh watak tersebut? Merompak? Berjaya di dalam kerjaya? Atau pun mendapatkan cinta seseorang?


Kebanyakan kelemahan penulis skrip di Malaysia ini ialah kita seringkali tidak mengenali watak yang kita bina secara keseluruhannya. Terutama peribadi watak yang kita bina itu sehinggakan kita tidak tahu apa yang mereka lakukan pada masa lapang. Ini telah menyebabkan kita buntu untuk membina Subjek. Maka dengan kebuntuan itu penulis sering kali mengambil jalan mudah dengan mewujudkan scene ‘MAKAN’ dan scene ‘MINUM’ berulang kali sehingga ianya membosankan penonton. Ini kerana kelemahan kita di dalam mewujudkan watak yang bertenaga dan MULTIDIMENSI.


AKSI

Aksi adalah apa yang dilakukan oleh watak. Ia terdiri dari dua elemen iaitu Fizikal dan Emosi. Pilih sebuah difilem dan kenalpasti aksi-aksi yang dilakukan oleh watak melalui fizakal dan emosi. Jika kita telah mengenali watak kita, pada kebiasaannya kita akan tahu aksi apa yang dia lakukan.

Sebagai contoh di dalam filem BULI. Apakah aksi-aksi yang dilakukan oleh Nordin (Protagonis) sebagai seorang yang dibuli dan apa pula aksi yang dilakukan oleh Roy (Antagonis) sebagai seorang kaki buli.

Aksi-aksi ini akan mewujudkan elemen-elemen dramatik di dalam Lakon Layar kita. Aksi-aksi yang memainkan perasaan seperti yang mewujudkan rasa suspense, sedih, seram, lucu, takut, teruja dan sebagainya inilah yang akan menjadi tarikan penonton.

Untuk mewujudkan perasaan itu, aksi memainkan peranan penting. Di dalam sesebuah lakon layar, elemen aksi ini lebih penting daripada dialog kerana sesebuah filem yang baik amat bergantung kepada kekuatan aksi yang dapat memberi pemahaman yang jelas kepada penonton dan dialog pula berperanan untuk menguatkan lagi aksi. Ini kerana filem bergerak di atas visual cerita.

Untuk mewujudkan Aksi ini, watak haruslah memainkan peranan penting dan berinteraksi dalam tiga cara.

1) Mengalami konflik di dalam mencapai kehendak-kehendak dramatik mereka.
2) Berinteraksi dengan watak-watak lain.
3) Berinteraksi dengan diri sendiri.

Tiga elemen ini akan menggerakkan aksi watak untuk membuat Lakon Layar kita terus bergerak kehadapan.

Sekarang, cuba kita membuat lakaran aksi yang boleh menghidupkan watak yang kita bina. Ini secara tidak langsung kita akan dapat membentuk subjek.

Sekian dulu untuk kali ini. Topik akan datang ialah DIALOG dan juga PANDUAN PENYEDIAAN PROPOSAL DRAMA TV.

Terima kasih.

*p/s: Betulkan jika saya silap. Kita sama-sama belajar.

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Cerpen: Antara Tua Dan Dewasa © - Siri 2

Selasa, Jun 24, 2008

6 ulasan
© Hakcipta Terpelihara 2008 - Oleh: Zaini Kosnin (Iniaz, K.)
Hari turut berlalu. Berlalu seperti biasa, dari petang ke malam, dari malam ke pagi dan seterusnya. Tangisan si anak tiada lagi, tangisan si ibu juga tiada lagi, tangisan adik si anak juga tiada lagi. Hari berlalu lagi, berlalu dengan gembira, berlalu dengan riang. Bertukar dari hari ke hari dengan suasana selalu. Penduduk kampung pun berlalu dengan kegiatan selalu. Segalanya terus berlalu, berlalu macam selalu.

Suasana kampung masih begitu. Namun, hari ini lain, hari ini berbeza tidak macam selalu. Sayup-sayup kedengaran dari suara laungan dari jauh. Kedengaran suara seorang pemuda. Orang kampung yang mendengar suara itu, mengamat-amati suara itu. Mencari dari mana suara pelik itu. Suara yang mampu membuat semua orang kampung tergamam. Suara yang mampu menggegarkan suasana petang itu. Rupanya suara itu datangnya dari sebuah surau tua. Satu suara yang telah lama tidak kedengaran. Suara itu adalah suara azan yang berkumandang, memuji Pencipta Yang Maha Besar, Pencipta yang mencipta sekelian alam. Memuji Pesuruh-Nya yang termasyur dan gemilang, menyeru umat manusia mendirikan solat. Menyeru manusia ke arah kejayaan.

Penduduk kampung yang tergamam tadi terus bergondong-gondong menuju ke surau, semua ke surau, si tua, si muda, si bapak, si ibu, si anak, semuanya ke surau. Seorang demi seorang menuju ke surau. Ada lelaki yang berkain pelekat, ada yang berseluar panjang, ada yang seluar pendek, ada yang berbaju, ada yang tidak berbaju. Ada perempuan yang berkain batik, ada perempuan yang berseluar panjang, ada perempuan yang berseluar pendek, semua perempuan berbaju tetapi tiada perempuan yang bertudung, apatah lagi yang yang membawa telekung.

Semuanya berjalan menuju ke surau. Berjalan dengan satu langkah, berjalan dengan satu tujuan, berjalan dengan satu matlamat dan tekad. Semua mendekati sebuah surau yang telah usang dan buruk itu. Surau yang tidak pernah dihiraukan sejak dahulu. Surau yang telah lama sepi dari kunjungan jemaah. Surau yang hanya menjadi simbol kepada masyarakat luar bahawa penduduk di sini masih lagi ada agama walaupun hanya tinggal nama.

“Hoi… ada siapa dalam surau ini, hah!” jeritan seorang lelaki tua separuh umur sambil bercekak pinggang setelah kumpulan orang kampung itu mencecahkan kaki mereka di halaman surau usang itu. Lagaknya seperti seorang pendekar. Seperti Si Tuah memanggil Si Jebat yang sedang enak beradu di dalam Istana Sultan Melaka setelah mengamuk akibat Si Tuah yang telah mati pada anggapannya. Mengamuk kerana membela sahabat yang dianggap seperti saudaranya.

Suasana sepi, kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan memijak lantai papan yang telah usang. Terpacullah seorang pemuda yang wajah berseri-seri dengan pakaian lengkap berjubah dan berserban serba putih.

“Assalamualaikum semua, silalah naik boleh kita solat Asar berjemaah bersama” kata pemuda itu kepada orang kampung.

“Kau ni siapa?, datang ke sini ada apa, hah?” kata salah seorang penduduk kampung kepada pemuda itu.

“Saya Azizan, datang dari dari bandar, bertujuan ke mari ingin mencari sedikit ilmu” pemuda itu menjawab sambil tersenyum.

“Kau nak cari ilmu apa di sini? Kalau nak belajar pergilah sekolah atau pun mana-mana kolej ke. Sini bukan tempat belajar. Kau datang berapa orang dan siapa yang benarkan kau guna surau ni?” kata seorang pemuda kampung tersebut kepada pemuda itu.

“Maafkan saya, kami berlima kesemuanya, kami tak tahu kalau guna surau ni kena minta izin dahulu. Boleh saya tahu, dengan siapa kami perlu minta izin?” pemuda itu berkata.

“Ah, sudahlah aku tak peduli itu semua, yang aku tahu lepas kau orang sembahyang, cepat beredar dan jangan cuba-cuba nak tunjuk pandai dekat sini!” seorang lelaki tua dari kumpulan orang kampung itu memberi amaran.
Pemuda itu hanya menundukkan muka dan berdiam diri. Orang kampung semuanya berlalu. Pergi meninggalkan surau yang usang itu, pergi meninggalkan kumpulan lelaki muda itu dan pergi meninggalkan peluang solat berjemaah dan akhirnya waktu Asar juga pergi meninggalkan mereka.


****************************
Bersambung...

Panduan Penulisan Skrip - Siri 2

Rabu, Jun 18, 2008

11 ulasan

Struktur Linear Lakon Layar

Paradigma adalah sebuah model, corak dan skema konseptual. Di dalam erti kata yang mudah, paradigma adalah asas kebiasaan kepada sesuatu. Sebagai contohnya, ialah meja. Rata-rata kita mengetahui bahawa meja mempunyai empat kaki. Biar bagaimana pun bentuk meja tersebut, sama ada bulat, bujur, memanjang mahupun empat segi, kesemua meja sememangnya mempunyai empat kaki.

Rata-rata kita telah diajar di sekolah konsep membuat karangan. Cikgu kita telah mengajar kita bahawa struktur yang perlu ada di dalam karangan itu adalah PENGENALAN, ISI dan KESIMPULAN. Ini adalah struktur bagi sesebuah cerita. Setiap cerita itu mesti ada konsep ini untuk melengkapkannya. Inilah struktur linear yang menjadi paradigma bagi sesebuah cerita.
Struktur Linear adalah asas yang menjadikan sesebuah cerita itu berdiri. Begitu juga dengan LAKON LAYAR. Di dalam sesebuah LAKON LAYAR struktur linear yang menjadi paradigmanya adalah PERMULAAN, KONFRONTASI dan RESOLUSI. Ia adalah struktur yang tetap dan sememangnya tidak boleh diubah lagi.

Di dalam keterangan di bawah saya akan menjelaskan konsep struktur tersebut dengan mengikut format Screenplay FINAL DRAFT. Dengan menggunakan format ini, konsepnya sangat mudah. Anggaran perkiraan minit bagi setiap skrip itu adalah SATU HALAMAN bersamaan dengan SATU MINIT.

Andaikan durasi standard bagi sesebuah filem itu ialah 120 minit. Ini bermakna skrip anda haruslah mempunyai 120 halaman.

PERMULAAN

Permulaan bagi sesebuah filem itu boleh diolah dengan pelbagai cara yang kita rasakan menarik. Pada kebiasaannya permulaan ini akan mengambil masa 30 minit. Di dalam permulaan yang dikenali sebagai SETUP ini, menjadi tanggungjawab kepada penulis skrip untuk melakarkan perjalanan pembukaan cerita yang menarik. Ini adalah untuk memberikan pemahaman kepada penonton berkenaan apakah cerita yang kita buat itu.

Pada kebiasaannya, apabila kita menonton sesebuah filem itu kita akan mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk membuat penilaian sama ada kita suka sesebuah filem itu ataupun tidak. Apabila sesebuah filem itu bermula, pada 10 minit yang pertama ini kita juga harus memperkenalkan WATAK UTAMA di dalam cerita itu dengan cara yang paling menarik. Ini bertujuan untuk menarik minat penonton untuk mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Pada akhir permulaan ini terdapat sebuah titik plot I. Titik plot yang pertama adalah pencetus kepada konflik yang akan berlaku berikutnya. Dalam erti kata lain titik plot yang pertama ini adalah satu insiden atau kejadian yang akan menganjakkan filem ini untuk terus ke hadapan. Pada kebiasaannya ia berlaku pada minit / halaman yang ke 25-27.

KONFRONTASI

Ia merupakan bahagian yang paling besar di dalam LAKON LAYAR. Pada kebiasaanya terletak pada halaman 30 hingga ke 90. Pada asasnya kita telah mengetahui bahawa asas dramatik di dalam filem itu adalah KONFLIK. Konfrontasi ini adalah konflik yang berlaku selepas tercetusnya titik plot yang pertama.

Di dalam KONFRONTASI ini kita bertanggungjawab untuk meletakkan perjalanan konflik / plot utama / subjek dengan cara yang penuh dramatik bersesuaian dengan konsep cerita yang kita bina itu. Harus tidak dilupa juga sub plot yang akan mewarnai perjalanan sesebuah filem itu agar ia menjadi lebih menarik dan tidak membosankan.

Sekiranya kita terlalu tertumpu kepada plot utama sesebuah cerita di dalam penulisan kita, ini akan menjadikan sesebuah filem itu amat membosankan penonton. Asasnya mudah, plot utama itu adalah sayur yang kita hendak masak. Sub plot pula adalah perencah atau bahan-bahannya. Jika tidak ada rencahnya manakan masakan kita itu menjadi sedap?

Setelah itu, kita akan bertemu dengan TITIK PLOT II yang pada kebiasaannya berlaku pada minit yang ke 85-90. TITIK PLOT II ini berfungsi sebagai pencetus kepada RESOLUSI. Senang kata biasa yang kita tengok dalam filem bila Si Hero mendapat idea untuk menyelesaikan konflik yang berlaku. Hehehe…

RESOLUSI

Resolusi biasanya tercetus selepas TITIK PLOT II berlaku. Biasanya pada minit yang ke 90 hingga ke 120. Ini adalah kesimpulan kepada cerita. Kita harus memikirkan bagaimanakah sesebuah cerita itu berakhir. Persoalan yang selalu dimainkan adalah apakah yang berlaku kepada watak utama?

Garapan pengakhiran yang perlu dibuat haruslah mempunyai nilai dramatik yang baik. Ini bertujuan untuk memberikan kesan yang mendalam kepada penonton. Sebaiknya pengakhiran sesebuah cerita itu haruslah sesuatu yang diluar jangkaan penonton.

*Penerangan

Namun begitu, apa yang saya terangkan di sini adalah paradigma biasa bagi sesebuah filem. Perlu kita ketahui juga, terdapat juga segelintir pengarah yang mengubah konsep ini. Sebagai contoh tentu kita pernah menonton drama VICE VERSA terbitan ACE MOTION PICTURES.
Di dalam drama ini, Pengarahnya iaitu Aziz M.Osman telah menggunakan satu teknik yang dikenali sebagai Teknik NON-LINEAR yang bertentangan dengan konsep Struktur Linear biasa ini. Cerita di dalam drama itu juga dapat digarap dengan baik dan menarik. Bagi saya itu satu idea yang bijak dari Aziz M.Osman.

*p/s: Betulkan jika saya silap… Kita sama-sama belajar….

*Akan datang… kenali SUBJEK dan WATAK…

Terima Kasih

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Panduan Penulisan Skrip - Siri 1

9 ulasan
Pengenalan

Skrip adalah satu penulisan perjalanan sesebuah LAKON LAYAR. Ia menentukan arah tuju ke mana sesebuah cerita itu akan bergerak. Bermula dari titik pertama, titik pertengahan hinggalah ke titik akhir. Di dalam erti kata lain skrip adalah lakaran perjalanan hidup bagi watak dan sekitarnya di dalam sesebuah LAKON LAYAR.

Apa itu LAKON LAYAR?

Menurut Syd Field (1982) di dalam bukunya yang bertajuk SCREENPLAY : The Foundation Of Script-writing, LAKON LAYAR ialah cerita bergambar.

Dari lakon layar ini, maka apabila ia divisualkan ia akan menjadi FILEM. FILEM itu pula merupakan medium visual yang menceritakan sesuatu jalan cerita asas yang dramatik. Filem ini bergerak mengikut lakaran-lakaran jalan cerita yang telah tercatat di dalam skrip.

Oleh itu, dengan mudah kita boleh menyatakan bahawa filem yang baik itu terhasil dari skrip yang baik. Namun begitu ada juga skrip yang baik tidak dapat divisualisasikan dengan baik kerana pelbagai faktor. Tetapi pada asasnya mudah, skrip yang baik INSYAALLAH akan mampu membentuk sebuah suratan perjalanan hidup yang baik di dalam filem itu.

Format

Terdapat pelbagai jenis format penulisan skrip sama ada filem mahu pun drama tv. Bagi pendapat saya, kesemua format ini boleh digunakan. Terpulang kepada penulis, ibarat kata SIFU saya Abang Zulkifli M.Osman, “Kita tidak boleh menyatakan format yang digunakan oleh seseorang penulis skrip itu salah. Terpulanglah mengikut keselesaan mereka, tapi sebaik-baiknya biarlah mengikut format yang standard”

Namun bagi saya suka menggunakan format Screenplay FINAL DRAFT. Bagi saya ia lebih mudah dan berkesan. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada penulis dan bakal penulis skrip agar mendapatkan software Final Draft untuk memudahkan kerja anda….

* p/s: Betulkan jika saya silap di ruangan komen... Sama-sama kita belajar…

Terima Kasih

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Cerpen: Antara Tua Dan Dewasa © - Siri 1

Selasa, Jun 17, 2008

0 ulasan
© Hakcipta Terpelihara 2008 - Oleh: Zaini Kosnin (Iniaz, K.)
Cuaca indah pada petang itu di Kampung Muda Selalu. Angin nyaman menghembus perlahan, redup suasana mendinginkan rasa. Suasana sunyi sepi mententeramkan jiwa. Sesekali kedengaran nyaring suara kenderaan seperti motosikal dan kadangkala kereta dan lori silih berganti memecah kesunyian. Beginilah keadaan kampung ini setiap hari.

Namun di sebuah rumah di tengah-tengah kampung yang damai ini, sayup-sayup kedengaran suara pertengkaran anak-beranak memecahkan suasana damai. Terdengar tangisan sendu si anak, si ibu membela anak, si ayah membela seseorang. Seorang tua yang menjadi rakan karibnya. Adik si anak pula hanya berdiam diri menyaksikan pertengkaran ahli keluarganya. Seolah-olah tidak mengerti apa yang berlaku.

“Ah… itu semuakan perkara biasa, lagi pun apalah sangat. Setakat ganggu cakap!” bela si ayah terhadap perbuatan rakannya.

“Yalah tu, hari ini diganggu cakap, esok lusa tak tahulah, dipegangkah, diapa-apakankah siapa yang tahu” si ibu pula membela si anak.

“Ala…. takkanlah sampai ke situ, lagi pun kalau dipegangpun bukannya luak!” si ayah terus membela.

“Awak ni sikit tak fikirkan keselamatan anak kita, cuma pentingkan persahabatan awak saja, tak tahulah apa nak jadi dengan kampung kita ni!” rintihan si ibu mengenangkan sikap si ayah hingga menitiskan air mata. Si anak masih menangis, si ibu juga masih menangis, adik si anak pula turut menangis. Si ayah pula berlalu tanpa sebarang kata.

******************************************************

Bersambung...
© Hakcipta Terpelihara 2008 - Oleh: Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Filem: PERJALANAN GENTAYANGAN BERMULA

0 ulasan
Sumber: Utusan Malaysia
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR

RASHDAN BABA (dua dari kanan) berbincang dengan pengarah Zulkiflee M. Osman (kanan) ketika penggambaran filem Gentayangan di Kampung Serom Panggung, Muar, Johor baru-baru ini.

BERSESUAIAN dengan tema misteri dan seram yang menjadi teras filem Gentayangan, pemilihan rumah berunsur tradisional dan menggerunkan menjadi pilihan produksi filem itu.
Filem sulung terbitan syarikat Secondlife Picture Sdn. Bhd. , sengaja memilih sebuah rumah yang sudah 15 tahun tidak berpenghuni di Serom Panggung, Muar, Johor bagi mewujudkan suasana yang dikehendaki.

Selama enam hari berkampung di sana baru-baru ini, seluruh krew produksi yang diketuai oleh sutradaranya, Zulkifle M. Osman banyak merakamkan babak utama dan menarik dalam filem di rumah berkenaan.

“Antara babak yang akan dirakamkan di rumah itu ialah pertarungan kuasa jahat yang penuh dengan aksi dramatik dan mendebarkan,” kata penerbit eksekutif bersama filem tersebut, Rashdan Baba ketika ditemui semasa penggambaran filem itu baru-baru ini.
Seramai 65 tenaga produksi filem bercorak aksi, misteri dan seram Gentayangan berada di daerah itu untuk menjalani penggambaran.

Misteri

Gentayangan yang bakal ditayangkan pada Februari tahun depan dibintangi seramai 24 pelakon terkenal antaranya Rusdi Ramli, Nasir Bilal Khan, Yasmin Hani dan Hasnol Rahmat.

Selain Muar, penggambaran filem Gentayangan yang menelan belanja kira-kira RM2.5 juta itu turut dilakukan di sekitar Melaka dan ibu negara.

Menurut Rashdan, Gentayangan yang bermaksud terawang-awang merupakan filem yang digarap hasil karya Shariman Wahab mengisahkan empat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi merancang untuk bercuti di kampung masing-masing selepas tamat peperiksaan akhir ijazah mereka.

Keempat-empat pelajar terbabit iaitu Risham (lakonan Rusdi Ramli), Kaher (Hasnol Rahmat), Rahila (Yasmin Hani) dan Sabrina (Lana Nordin) bercuti di destinasi pertama iaitu kampung Risham dan bermula dari situ, mereka telah menemui pelbagai rahsia yang tersimpan sejak sekian lama.

Menurut Rashdan, pelbagai peristiwa misteri dan seram yang dilalui keempat-empat pelajar itu akhirnya membawa kepada sejarah penggunaan ilmu hitam oleh Alang Jali lakonan Nasir Bilal Khan yang cuba dihalang oleh Tok Borhan lakonan Abu Bakar Omar yang membesarkan Risham selama ini.

Gentayangan turut dibintangi beberapa pelakon terkenal seperti Afida Es, Kuswadinata, Rozita Che Wan, Yang Kassim serta penampilan istimewa Tan Sri Jins Shamsuddin.

Apa yang membezakan filem terbaru ini ialah ia menggabungkan teknik Imej Penjanaan Komputer (CGI) yang bernilai RM750,000 serta lagak aksi ngeri oleh pasukan MRS Stunt di bawah kendalian Mohd. Razib Salimin.

“Seramai 14 tenaga lagak aksi ngeri digunakan dalam filem ini dan kita turut menggunakan kaedah CGI yang bernilai RM1.2 juta hasil idea pereka tempatan, Jefri Salleh.
“Pada masa yang sama, Gentayangan juga dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan segala isi kandungannya tidak menyimpang daripada landasan agama," jelasnya.

Rashdan berkata, filem itu diterbitkan oleh seorang usahawan, Datuk Dr. Zubir Yahya yang kini bergiat dalam bidang perniagaan berasaskan telekomunikasi bergerak.

Beliau juga yakin dengan kemampuan pengarah Zulkiflee yang telah mengarah 12 buah filem sebelum ini bagi memastikan filem itu mampu menarik peminat tempatan dan ia juga dijangka akan ditayangkan di luar negara apabila siap kelak.

Filem: Gentayangan

Isnin, Jun 16, 2008

0 ulasan
Filem arahan Zulkifli M Osman dan hasil garapan penulis skrip oleh Shahriman Wahap ini membariskan pelakon seperti Rusdi Ramli, Yasmin Hani, Nasir Bilal Khan, Abu Bakar Omar, Hasnol Rahmad dan pendatang baru, Lana Nordin. Kos dijangka menelan belanja RM2.5 juta termasuk penggunaan imej janaan komputer (CGI), RM750,000. Pengambaran filem telah dimulakan pada 23 Mei di Melaka dan memakan masa 40 hari.

Bercorak filem mistik seram, filem ini akan dipasarkan dengan strategi tersendiri dengan menjangkakan akan untung sebanyak RM10 juta. Perkiraan ini dibuat berdasarkan sambutan filem seram temparan sebelum ini yang mendapat sambutan hangat.

Budiey rasa, pihak penerbit tidak boleh menyamakan filem ini dengan filem seram lain yang telah mendapat keuntungan besar sebelum ini seperti Jangan Pandang Belakang dan Congkak. Mungkin perspektif penonton berbeza setelah dijamu dengan segala macam publisiti meluas. Memang kalau dilihat hasrat dan impian filem ini terlalu tinggi. Namun bagi mereka, kalau kena dengan strategi, filem ini memang boleh laris. Apatah lagi setelah mendapat tahu, filem ini akan turut dijual melalui internet dan muatturun di telefon bimbit.

Mesej dalam penceritaan filem ini memang bagus kerana menyentuh tentang isu akidah dan perkara berkaitan dengan hak dan batil. Skrip bukan sekadar untuk menakutkan penonton tetapi memberikan mesej positif dan pengajaran. Sejauh manakah berjayakah strategi ini?

Pierre dan Fairuz pertahankan hak ‘Jangan Tegur’

1 ulasan
Sumber: Alexander Ibrahim - filemkita@yahoogroups.com

Perang dingin antara pengarah dan penulis skrip Jangan Tegur, Pierre Andre, 23, dengan seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Fairuz Padoli, 21, masih berlanjutan ekoran skrip filem tersebut didakwa hasil ciplak karya pelajar berkenaan.

Malah pengarah tersohor, Ahmad Idham turut diheret sama dalam situasi tersebut, memandangkan pelajar semester satu, Ijazah Penulisan Skrip daripada ASWARA itu pernah menghantarkan skrip filem tersebut kepadanya, pada Januari lalu.

Biarpun sudah beberapa kali Idham dan Pierre menafikan hal tersebut, namun Fairuz masih tidak putus-putus mendakwa yang skrip filem Jangan Tegur itu adalah hasil ciplak daripada karyanya yang telah ditulis sejak mengikuti pengajian diploma di ASWARA itu.

Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih telus, SINAR HARIAN dan beberapa rakan media yang lain telah mengatur satu pertemuan eksklusif antara Fairuz dan Pierre. Ikuti temu bual berikut:

Boleh anda jelaskan sebarang persoalan yang timbul dalam skrip Jangan Tegur yang didakwa diciplak dari hasil karya anda?

Fairuz: Sebelum ini, saya ada menghantar skrip hasil karya saya yang berjudul ‘Jangan Tegur’ kepada Ahmad Idham setelah dia sendiri mencadangkan kepada pelajar ASWARA termasuk saya untuk menghantar skrip kepadanya ketika majlis diskusi anjuran ASWARA pada awal Januari lalu. Setelah menghantarkan skrip itu kepadanya, saya tidak menerima sebarang maklum balas daripadanya sehinggalah dua bulan selepas itu, saya dapat tahu yang Pierre akan mengarahkan filem ‘Jangan Tegur’. Dari situ mula timbul keraguan kerana skrip filem tersebut mempunyai persamaan dengan hasil karya saya dan kemungkinan besar Idham ada menyerahkan karya itu kepada Pierre memandangkan mereka bekerja satu bumbung.

Pierre: Saya dapat merasai apa yang Fairuz rasa sekarang. Tetapi saya bukannya jenis yang suka tindas orang. Mak saya sendiri pernah berpesan, biar kita miskin tetapi jangan mencuri. Saya juga rasa teraniaya, buka saja blog, ramai yang tuduh saya mencuri karya orang. Tapi saya tak nak salahkan sesiapa, cuma situasi sahaja yang tak betul.

Bila isu ini timbul, saya dapat panggilan dari David Teo (penerbit), dia tanya ada tak filem saya sama tajuk dengan karya orang lain. Masa tu saya tak tahu-menahu hal ini, sebab dari awal lagi saya memang suka guna perkataan ‘jangan’ dalam filem saya, seperti mana ‘Jangan Pandang Belakang’. Idea untuk menghasilkan filem ini dah lama ada, tapi dalam bentuk ‘treatmentlah’ , kalau tak percaya anda boleh lihat dalam ‘lap top’ saya yang memang banyak ‘treatment’ skrip. Tajuk ‘Jangan Tegur’ tu pun dah lama ada, itu pun ibu saya (Khatijah Tan) yang beri idea.

Soal Ahmad Idham, saya tak tahu pun yang dia pernah minta skrip dari pelajar ASWARA dan saya tak boleh salahkan dia dalam hal ini, sebab dia tidak pernah serahkan mana-mana skrip kepada saya.

Anda katakan yang skrip ‘Jangan Tegur’ itu mempunyai persamaan dengan hasil karya anda, boleh anda jelaskan persamaannya dari segi apa?

Fairuz: Memanglah skrip itu tak sama 100 peratus, mungkin ia banyak dirombak. Apa yang saya lihat hampir 10 peratus ia masih sama dengan idea saya. Malah ramai rakan-rakan saya juga dapat merasa perkara yang sama. Bukan sahaja tajuk yang sama, malah ‘scene opening’ dan trademark (jari telunjuk diletakkan di mulut) yang digunakan juga sama.

Pierre: Saya tak nak cakap yang perkara ini kebetulan, tetapi mungkin ‘miracle’. Soal tajuk yang sama itu, saya dah dapatkan penjelasan dari peguam saya yang perkataan ‘Jangan Tegur’ itu adalah milik masyarakat dan sesiapa sahaja berhak menggunakannya. Kalaulah ceritanya sama barulah orang boleh ambil tindakan. Pada saya, cerita ini memang tak sama dan ada kelainannya. Saya dah baca sinopsis skrip yang ditulis Fairuz dalam internet, apa yang saya tahu ceritanya lebih pada hantu dan pocong, tetapi saya pula bermain dengan iblis dan syaitan.

Soal trademark yang sama itu adalah perkara biasa yang digunakan untuk menunjukkan isyarat jangan tegur. Bagi anda sendiri bagaimana isyaratnya untuk menunjukkan isyarat jangan tegur? Pasti isyarat (Jari telunjuk diletakkan di mulut) begini yang akan dilakukan. Menyentuh tentang ‘scene opening’ pula, pada saya ia jauh berbeza dengan cerita yang ditulis Fairuz.

Ada sebarang rasa ketidak-puasan hati yang anda berdua ingin jelaskan di sini?

Fairuz: Bila perkara ini berlaku, saya rasa teraniayai kerana hasil karya saya tidak mendapat hak yang sepatutnya. Saya ingat bila menghantar skrip ini pada Idham, ia akan membantu saya untuk membiayai kos pembelajaran saya, tapi sebaliknya pula. Saya rasa perkara ini patut mendapatkan penjelasan dari Idham. Banyak kali saya cuba hubungi dia, tetapi tiada jawapan. Pada saya, sebagai orang seni, kita akan sentiasa bertembung, lagipun industri kita kecil sahaja dan kalau boleh saya tak mahu perkara seperti ini berlaku kepada orang lain.

Pierre: Bukan sahaja Fairuz, saya juga rasa teraniayai. Saya tak tahu apa yang berlaku antara dia dan Idham. Saya sanggup mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan perkara yang sebenar sebab saya yakin ‘Jangan Tegur’ itu karya asal saya dan apa yang berlaku ini adalah secara kebetulan sahaja. Pada saya, tak ada masalah kalau saya dan Fairuz dapat bekerjasama untuk industri ini, lagipun kami pun berasal dari kampus yang sama.

Hanya kebetulan- Idham
Dalam pada itu, Ahmad Idham pernah membuat pengakuan yang dia ada menerima skrip Jangan Tegur dari pelajar ASWARA (Fairuz) namun menafikan yang dia memberikan karya tersebut kepada Pierre. Dalam kenyataannya juga, Idham memberitahu yang dia tidak pernah membaca skrip itu dan berkali-kali menegaskan bahawa ianya ‘hanyalah satu kebetulan sahaja’.

Pun begitu, ianya bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang diberikan oleh Fairuz yang mendakwa Idham pernah membaca karyanya itu.

“Setelah saya menghantar skrip itu kepadanya, saya ada menghubunginya dan bertanya adakah dia sudah membaca skrip itu,'' kata Fairuz.

"Katanya, dia sudah pun membaca skrip itu. Apa yang mengejutkan saya, dia tidak mengaku pula pada pihak media.''

Sehingga kini isu tersebut masih menjadi berlarutan dan menjadi tanda tanya siapakah yang berada di pihak yang benar.

Pun begitu, filem terbitan MIG Production yang membariskan pelakon seperti Julia Ziegler, Nadia Mustafar, Ellie Suriati, Azri Iskandar, Almy Nadia, Rozita Che Wan, Kaza dan Pierre sendiri ini sudahpun selesai menjalani penggambarannya.

Plagiat Oh... Plagiat... Wahai Orang Yang Kecanduan Plagiat...

2 ulasan
Hi & Salam

Isu plagiat ini adalah satu isu yang tidak pernah selesai... Orang yang suka memplagiat ini adalah orang yang tidak bijak. Ini kerana mereka tidak dianugerahkan oleh Tuhan otak yang bijak. Oleh kerana kelembapan otak mereka berada di tahap maksimum, ini telah menyebabkan mereka tidak boleh berfikiran kreatif untuk menghasilkan karya yang baik.

Oleh yang demikian, NAFSU mereka menginginkan mereka menjadi seperti orang yang genius macam tuan-tuan semua, ini telah menjadikan mereka bertindak melakukan satu jenayah iaitu MENCURI karya orang lain...

Mereka rasa mereka bijak, tetapi sebijak mana mereka semuanya? Apa yang mereka boleh buat? Berbangga dan bermegah dengan hasil pemikiran orang lain dengan mengaku karya itu mereka punya? Jika itu yang mereka lakukan, sebenarnya mereka itu memang manusia yang TIDAK TAHU MALU...

Pandai di dalam bidang melakukan KEJAHATAN itu bukanlah orang yang bijak... tetapi sebenarnya mereka adalah orang yang tidak tahu menggunakan OTAK. Buat malu saja... Malulah dengan diri sendiri, dengan TUHAN, dengan masyarakat, dengan isteri dan anak-anak... BERDOSANYA mereka ini memberi isteri dan anak-anak mereka dari sumber rezeki yang HARAM...

Di dalam buku Syd Field yang bertajuk Screenplay (kalau tak silap saya) ada cara bagaimana kita boleh melindungi hak penulisan kita. Saya pernah berbincang dengan seorang Peguam berkenaan dengan kaedah tersebut, dan beliau menasihati saya supaya melakukan perkara-perkara tersebut.

Langkah-langkahnya adalah seperti berikut.

Selesai mencetak hasil karya kita, buat satu surat akuan yang menyatakan bahawa karya tersebut adalah karya kita. Buat dua salinan surat. Perlu ingat bahawa surat akuan tersebut haruslah menyediakan ruang di bahagian bawah untuk ditandatangani oleh PESURUHJAYA SUMPAH.

Kemudian bawa karya/skrip dan surat akuan tersebut berjumpa dengan PESURUHJAYA SUMPAH. Minta PESURUHJAYA SUMPAH menandatangani dan cop kedua-dua surat akuan tersebut, dan juga di atas muka depan skrip tersebut. JANGAN LUPA TULIS TARIKH PENGAKUAN DAN PENGESAHAN PESURUHJAYA SUMPAH.

Kemudian masukkan skrip tersebut ke dalam sampul surat bersama dengan SALAH SATU surat akuan tersebut. Satu lagi surat akuan kita simpan. Tulis NAMA & ALAMAT SENDIRI di atas sampul surat tersebut.

Langkah berikutnya adalah pergi ke pejabat pos dan kemudian ambil borang POS LAJU dan pos skrip tersebut kepada diri kita sendiri dengan menggunakan POS LAJU. Simpan resit penghantaran pos itu. Apa yang kita mahukan ialah bukti pengeposan pada resit pos tersebut seperti TARIKH & MASA.

Apabila skrip itu sampai kepada kita melalui pos, JANGAN BUKA SAMPUL tersebut. Simpan ia di dalam keadaan tidak terbuka dan jagalah baik-baik...

Jangan sesekali cuba-cuba buka sampul surat itu. Selepas semua ini selesai, barulah kita berurusan dengan produser dan pengarah atau sesiapa saja.

Inilah langkah-langkah yang saya gunakan untuk melindungi karya saya walau sekecil mana pun karya itu.

Jangan bagi orang lain curi fikiran kita...

Semoga kita sentiasa dilindungi Allah s.w.t... Amin...

Salam

Telemovie: Takbiratul Ihram

Ahad, Jun 15, 2008

0 ulasan

Nantikan Kemunculannya... Akan Datang...
Tajuk: Takbiratul Ihram
Genre: Semi Light Comedy
Durasi: 90 minit
Skrip & Cerita Asal: Zaini Kosnin (Iniaz, K.)
Terbitan: Zeel Production Sdn. Bhd.
Siaran: Astro

Telemovie: Impian Zanita

1 ulasan
Nantikan Kemunculannya... Akan Datang...

Tajuk: Impian Zanita
Genre: Romantic
Durasi: 90 minit
Arahan: Zulkiflie M.Osman
Idea Asal: Gina Lahre
Skrip: Zaini Kosnin (Iniaz, K.) - Panel Skrip Shootingstar Media
Terbitan: Shootingstar Media Sdn. Bhd.
Siaran: Astro

Filem: Sepi

0 ulasan
Selepas filem “Cinta”, karya layar perak pertamanya, Kabir Bhatia kembali dengan filem ‘Sepi’ untuk mengubat kesepian penonton dengan cerita yang menarik. Filem ini Diterbitkan oleh Alternate Studio, sebuah divisyen produksi Grand Brilliance Sdn Bhd (GB).

Sepi menyaksikan kolaborasi Ara dan Mira Mustafa dalam penghasilan skripnya selepas kali pertama bergandingan bahu di dalam Cinta yang dinobat Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu.Sepi masih berpaksikan pada tema cinta, tetapi kali ini ia membicarakan mengenai kesepian dalam cinta menerusi perjalanan tiga cerita, berlatar visual hebat dan mainan warna yang menterjemah suasana dan emosi yang dilalui setiap daripada karektornya.

Namun, menurut Kabir, tidak seperti Cinta di mana karektor daripada lima ceritanya tidak berkait secara langsung, kisah di dalam Sepi berpaut antara satu sama lain untuk menjadikannya sebagai satu penceritaan yang sempurna. Bagaimana, katanya, satu insiden memberi kesan kepada kehidupan setiap karektornya.

Kabir berpendapat Sepi sudah mencapai kejayaan awal kerana berjaya memikat pelakon berbakat dan terkenal tanahair seperti Afdlin Shauki, Nasha Aziz, Vanida Imran, Eja, Pierre Andre dan Tony Yusof, Ia juga menampilkan muka baru, Baizura Kahar dan Syed Hussain, bekas anggota kumpulan Ruffedge.

“Saya suka bercerita menerusi visual. Saya percaya, apabila seorang penonton pergi ke panggung dan membayar RM10, dia berhak mendapat perjalanan yang penuh rasa dan emosi. Ia haruslah sesuatu yang tidak akan anda perolehi di depan TV,” ujar Kabir.

Sinopsis

Jalan menemui kebahagiaan tidak selalunya mudah. Untuk Adam, Sufi dan Imaan, sepi terlebih dulu menjengah hati mereka. Sepi membuat mereka mencari cinta, memilih cinta, dan menggengam cinta. Sepilah mengajar mereka erti cinta.
Adam seorang chef yang berjaya, dan kek perkahwinannya sering menjadi idaman pengantin. Dia sentiasa menghadiri majlis majlis perkahwinan – tanpa pasangan. Walau sentiasa dikelilingi teman-teman, Adam rasa tersendiri. Walau sentiasa kelihatan ceria, hatinya tercari-cari. Dia inginkan seseorang untuk berkongsi bahagia. Tapi mungkinlah cinta yang dicari, telah lama berada di depannya?

Setelah kematian isterinya, Sufi terbeban dengan memori. Hatinya yang kosong enggan meneruskan hidup tanpa kekasih hati. Dia berlari - menjauhkan diri dari realiti kehidupan, kerjaya, malah anaknya sendiri. Tidak terbayang olehnya cinta akan menjenguknya lagi. Bukankah cinta datang hanya sekali dalam hidup?

Bermula 26 Jun di panggung.

Bukan Seorang Yang Pandai...

1 ulasan
Salam,

Saya bukanlah seorang yang pandai atau pun memandai-mandai... Cuma kadang kala otak ini ligat berjalan memikirkan macam mana nak terus hidup... Saya selalu teringat akan pesan bapa saya, 'HIDUP INI SEKEJAP SAJA, WALAU PUN IA HANYA SEKEJAP, NAMUN IA AMAT SUKAR SEBENARNYA... TETAPI BIAR PUN SESUKAR MANA PUN HIDUP INI, KITA KENA PASTIKAN SETIAP SAAT YANG BERLALU ITU KITA LALUI DENGAN CARA YANG PALING TERBAIK'...

Sebab itulah saya selalu ingin menjadi yang terbaik meskipun kadang kala saya tidak tahu caranya... Tak kiralah apa pun yang berlaku, yang penting bagi saya saya dapat menikmati hidup ini dengan apa yang buat saya rasa puas... Tetapi sebanyak mana pun kepuasan yang kita cari, sememangnya kita takkan pernah rasa puas... Bukan tidak bersyukur, tetapi biarlah kita bersyukur dengan rasa kepuasan yang semaksimum mungkin...

Tapi entah apa yang saya mengarut ni pun saya tak tahu... Terpulanglah...

Terima Kasih...

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Dua Tahun Setengah Yang Mengajar...

Rabu, Jun 04, 2008

1 ulasan
Salam,

Bagaimana rasanya jika dari seorang yang aktif dan bergerak cergas kini terpaksa duduk di atas kerusi roda dan merenung masa depan yang samar-samar? Di dalam usia muda sekitar 27 tahun? Masa depan yang masih panjang....

Semenjak dari kecil lagi saya bercita-cita ingin menjadi seorang pengarah filem. Pada waktu itu, saya ingin menjadi seperti Yusof Haslam (kini Dato' Yusof Haslam). Pernah suatu ketika pada usia saya lebih kurang 6 tahun, bapa saya membawa saya ke kedai, pada waktu itu isteri tuan kedai bertanya kepada saya, siapakah nama saya? dengan bersahaja saya menjawab bahawa nama saya adalah Yusof Haslam. Sehingga kini saya teringat kisah yang lucu itu.

Setelah tamat peperiksaan STPM, saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di UUM. di dalam bidang komunikasi. Sebenarnya di dalam borang UPU saya minta juga kursus yang berkaitan dengan perfileman dan pernyiaran di universiti lain, namun dah rezeki saya di UUM, saya terima dengan redha kerana saya sangkakan kursus komunikasi di UUM sama seperti universiti lain. Dalam erti kata lain ingatkan ada bidang penyiaran, rupanya tiada... (Hehehehe...)

Saya berasa agak kecewa pada waktu itu. Terasa juga macam nak berhenti saja, namun saya tekadkan hati, saya tekadkan semangat. Saya terfikir di dalam kepada otak saya, kenapa aku mesti mengalah? Kalau ini yang Tuhan nak aku buat, aku akan buat. Maka bermulalah satu kerja gila yang saya lakukan.

Pada semester ke-3 pengajian saya, saya rasa saya perlu melakukan sesuatu sebelum saya keluar dari UUM. Saya mesti ada ilmu tentang filem atau pun penyiaran. Mana-manalah yang saya dapat.

Saya amat bersyukur apabila dipertemukan dengan seorang pensyarah yang bernama En. Mohd Hafidz Hussien. Dia seorang pensyarah yang hebat. Dia sanggup mengajar saya ilmu penulisan skrip meskipun subjek itu langsung tidak ditawarkan di UUM. Setiap hari saya akan ke biliknya dan belajar daripadanya teknik-teknik penulisan skrip. Seterusnya dia memperkenalkan saya dengan beberapa orang pensyarah dan staf-staf penerbitan UUM yang lain.

Sungguh saya tidak sangka bahawa ramai pensyarah dan staf penerbitan di UUM sanggup mengajar dan membantu saya. Meskipun ada pensyarah yang tidak suka, namun saya puas kerana majoriti pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden UUM membantu saya. Bahkan setelah saya tamat pengajian, dengar-dengar cerita di UUM telah ada bidang kursus yang berkaitan dengan penyiaran dan tak lama lagi perfileman.

Setelah ada sedikit ilmu di dada, saya memulakan kerjaya di dalam industri perfileman ini sebagai seorang penulis skrip pada tahun 2003. Pada ketika itu saya masih lagi menuntut di UUM ini.

Perkenalan saya dengan Abang Zulkiflie M.Osman telah membuka jalan karier saya di dalam bidang ini. Dialah yang banyak mengajar saya tentang dunia filem. Seterusnya kerjaya saya mula berkembang apabila bertemu dengan Mr. Bobby dari Zeel Production. Maka mulalah karier saya sebagai seorang penulis skrip untuk drama TV. Karya saya yang pertama di terima di TV3 ialah DJ Millenium. Seterusnya lembaran demi lembaran dibuka apabila saya berjaya mendapat tempat di RTM.

Kemudiannya setelah saya menamatkan pengajian pada bulan Januari 2005, saya mendapat tawaran dari UUM untuk bertugas sebagai Penerbit Rancangan (Kontrak) di situ. Maka bermulalah episod baru di dalam hidup saya di mana saya dapat melangkah ke satu tahap menjadi seorang penerbit/pengarah.

Projek saya yang pertama ialah satu projek doku-drama bersama dengan Bahagian Teknologi Pendidikan Kem. Pelajaran Malaysia untuk TV Pendidikan. Projek ini adalah usahasama di antara UUM dan BTP. Pada waktu itu saya menjadi Penolong Pengarah/Penerbit.

Setelah melakukan beberapa projek sepanjang tahun 2005, akhirnya UUM diundang oleh Mahkamah Alor Star untuk membuat satu video Sejarah Mahkamah di Kedah sempena dengan Perasmian Bangunan Mahkamah Baru. Pada waktu itu, Penerbit Yang Senior di UUM memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui projek ini. Saya berasa amat gembira di atas kepercayaan itu.

Namun begitu, Allah s.w.t itu Maha Berkuasa... Setelah tamat penggambaran di Alor Star, pada malam 11 Disember 2005 saya bersama dengan semua rakan-rakan produksi bertolak ke Kuala Lumpur kerana akan menjalani penggambaran di Putrajaya pada keesokkan harinya.

Tepat jam 1.30 pagi pada 12 Disember 2005, di Tikam Batu, Sungai Petani van yang kami naiki mengalami kemalangan jalanraya. Kemalangan tersebut telah menyebabkan saya terpaksa dimasukkan ke wad ICU Hospital Penang. Hampir sebulan saya tinggal di hospital itu dan menjalani 3 kali pembedahan untuk membetulkan kedua-dua belah kaki saya akibat tulang yang patah remuk. Mujur juga nyawa saya masih panjang meskipun doktor telah memberitahu orang tua saya bahawa harapan cuma 50% akibat daripada fat embolisme yang teruk.

Saya menyangka segala-galanya telah selesai dan pada waktu itu saya hanya menunggu masa untuk sembuh. Namun setelah saya kembali ke Johor, Doktor di Hospital Kluang menyatakan bahawa rawatan saya masih belum selesai dan saya akan di hantar ke hospital Johor Bahru untuk menjalani pembedahan yang berikutnya.

Pada bulan September 2006, saya telah dimasukkan ke wad semua untuk menjalani pembedahan yang berikutnya pada kedua-dua belah kaki saya. Pada waktu itu saya hanya mampu menangis. Bagaikan hidup saya tidak bererti. Terlintas di fikiran saya adakah saya masih mampu menjadi Yusof Haslam idola saya? Tercapaikan cita-cita saya untuk menjadi seorang pengarah filem?

Pada bulan Oktober 2006, sekali lagi saya menjalani pembedahan yang berikutnya dan seterusnya pada bulan November 2006 doktor telah menjalankan pembedahan yang ke-enam. Saya tinggal di hospital selama dua bulan, bermula dari bulan September hinggalah ke bulan Oktober. Di dalam hati saya ini terlintas pelbagai-bagai perkara yang memedihkan. Kecewa, kesal, merana, terseksa... hanya Allah saja yang tahu. Saya dah jadi orang yang putus harapan...

Doktor membenarkan saya pulang ke rumah pada hujung bulan November itu, saya berasa gembira... tetapi kegembiraan itu hanya seketika apabila Doktor menyatakan bahawa saya perlu bersiap sedia untuk pembedahan yang berikutnya dalam jangkamasa beberapa bulan lagi...

Entahlah... Pada masa itu saya rasa otak saya seperti tidak boleh berfikir lagi. Pada setiap saat saya cuba untuk pura-pura memujuk hati saya dengan pelbagai cara... saya pura-pura gembira. Namun di sisi saya keluarga saya tidak putus-putus memberikan dorongan dan semangat untuk saya terus berjuang melawan kesakitan ini....

Pada bulan Julai 2007, sekali lagi saya dimasukkan ke wad hospital J.B, untuk menjalani pembedahan yang ke-tujuh. Pada masa itu Doktor membuat pembedahan untuk melakukan bone grafting, di mana Doktor mengambil sedikit tulang di bahagian pinggul saya untuk dimasukkan ke dalam tulang peha saya.

Alhamdulillah... kini semua pembedahan saya telah pun selesai dan tunggu masa untuk saya sembuh sepenuhnya. Kini saya masih lagi duduk di atas kerusi roda ini dan dua minggu sekali saya akan mengikuti rawatan fisioterapi di hospital Kluang. Entah bila saya akan sembuh... hanya Allah saja yang tahu...

Sesungguhnya bagi saya tidak ada perkara yang paling baik di dalam dunia ini kecuali saya dapat berjalan semula untuk mencapai cita-cita saya menjadi seperti Datuk Yusof Haslam. Bahkan lebih baik jika boleh.... (InsyaAllah...)

Kini saya meneruskan kehidupan saya sebagai seorang penulis skrip untuk RTM, TV3 dan Astro. Terima kasih kepada ketiga-tiga stesen ini yang sudi menerima karya saya...

Kadang kala saya menulis juga lirik lagu, puisi, cerpen dan novel untuk menghilangkan rasa bosan yang sering melanda di kepala otak saya ini kerana pergerakan yang terbatas di atas kerusi roda yang setia ini....

Semoga satu hari nanti saya mampu untuk mengarah semula... dan mencapai cita-cita saya.... Amin....

Sekian Terima Kasih...

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)