Panduan Penulisan Skrip - Siri 6

Sabtu, Julai 12, 2008

21 ulasan
Format


Apa yang perlu ada di dalam menulis sebuah skrip? Bagaimana rupa bentuknya? Pada asasnya, format sesebuah skrip filem atau drama tv itu haruslah mempunyai elemen seperti berikut.


1) Scene Heading
2) Action
3) Character
4) Parenthetical
5) Dialogue
6) Transition

1) Scene Heading
Ini dikenali sebagai Scene Heading kerana ia merupakan permulaan sesuatu scene. Di dalam istilah bahasa kita ialah ‘Kepala Babak’. Ia juga merupakan pemisah antara satu scene dengan scene yang lain.

Contoh-contoh Scene Heading adalah seperti berikut:

INT. BILIK TIDUR ARYON, RUMAH BANGLO - NIGHT
EXT. BANGUNAN FAKULTI - DAY
I/E. KERETA ARYON - MOMENTS LATER

Penerangan.

INT. EXT. I/E - Merupakan istilah yang mewakili keadaan lokasi sama ada di dalam (INT.), di luar (EXT.) atau pun kedua-duanya sekali (I/E.)

Di tengah-tengah Scene Heading selepas kedudukan penentu lokasi ialah LOKASI. Contohnya RUMAH BANGLO ARYON, BANGUNAN FAKULTI dan KERETA ARYON, JALAN RAYA.

Di hujung Scene Heading ialah kedudukan bagi petunjuk waktu sama ada siang, malam, bersambung, sebentar kemudian dan banyak lagi. Di antara istilah yang biasa digunakan ialah DAY, NIGHT, MORNING, AFTERNOON, EVENING, CONTINOUS, LATER, MOMENTS LATER & THE NEXT DAY. Jika anda lebih selesa menggunakan istilah Bahasa Melayu, silakan…

2) Action
Selepas menulis Scene Heading, kita memulakan penulisan skrip kita dengan memasukkan elemen Action yang akan menerangkan Aksi yang akan berlaku di dalam skrip kita itu.

Contohnya:

Di dalam sebuah bilik yang hanya diterangi oleh cahaya lampu tidur, kelihatan di atas katil keadaan bantal dan selimut yang tidak teratur.

Di atas lantai turut kelihatan beberapa helai pakaian kotor yang bersepah.

Di satu sudut lain, kelihatan Aryon sedang berdiri di tingkap sambil memandang keluar. Jelas kelihatan wajahnya menunjukkan kesedihan yang teramat sangat.

Kemudian kedengaran bunyi pintu biliknya di buka. Kelihatan di pintu bilik, Pak Kassim berdiri sambil tersenyum.

Penerangan.

Di bahagian Action ini apa yang perlu dicatatkan ialah hanyalah Aksi Watak dan juga keadaan sekitarnya. Tidak perlulah meletakkan istilah-istilah sastera seperti ‘angin sepoi-sepoi bahasa’, bayu bertiup lembut dan sebagainya kerana ia sememangnya tidak diperlukan. Tidak perlulah kita menulis ayat-ayat yang tidak boleh digambarkan atau dirakamkan dengan kamera.

Nyatakan aksi yang anda gambarkan dengan jelas dan ringkas. Buat penegasan di tempat-tempat yang perlu diberi perhatian dengan meletakkan huruf besar pada perkataan tersebut.


3) Character
Character
atau Watak di dalam skrip ini ialah Aryon dan Pak Kassim. Kedudukan Watak di dalam format skrip adalah seperti berikut.



PAK KASSIM


Berada di bahagian tengah untuk membezakan dengan elemen lain. Ini akan memudahkan pembaca skrip tersebut mengetahui bahawa itu adalah watak bagi skrip tersebut.

4) Parenthetical
Merupakan rujukan kepada tingkahlaku atau aksi. Biasanya digunakan untuk aksi-aksi yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak atau pun boleh juga digunakan untuk reaksi atau perasaan.

Kedudukannya adalah selepas character dan sebelum dialog.



ARYON
(sedih)



Atau pun selepas dialog.



ARYON
Saya tak terfikir pula…
(kepada Mak Siti)



5) Dialogue
Berfungsi sebagai kata-kata yang dituturkan oleh watak. Seharusnya dialog itu tidaklah terlalu panjang kerana filem atau drama bergerak di atas visual. Dialog yang panjang akan membuatkan situasi yang bosan. Dialog mestilah sentiasa membawa penceritaan bergerak kehadapan.

Kedudukannya adalah seperti berikut.



ARYON
Saya tidak terfikir pula…



6) Transition
Transition
merupakan pengakhir sesuatu babak. Ia juga berfungsi sebagai pemisah di antara babak.

Kedudukannya adalah di bahagian kanan muka surat di di bahagian bawah scene.

Contohnya adalah seperti berikut:


CUT TO:


Istilah-Istilah yang biasa digunakan adalah CUT TO: INTERCUT TO: FADE IN: FADE OUT. FADE TO: DISSOLVE TO: BACK TO: MATCH CUT TO: JUMP CUT TO: FADE TO BLACK.

Gunakanlah kegunaan pada tempat yang kita fikirlan sesuai.

Berdasarkan contoh-contoh yang telah saya tunjukkan tadi, bolehlah kita simpulkan bahawa format penulisan skrip filem dan drama TV adalah seperti berikut.

Download Contoh :




Demikianlah rupa format penulisan skrip. Harap ia dapat membantu anda pembaca semua menulis dengan lebih baik.

Selamat berkarya…

Salam Hormat Penuh Kasih Sayang Sesama Insan…

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Panduan Penulisan Skrip - Siri 5

Rabu, Julai 09, 2008

2 ulasan
Lupakan Istilah Teknikal Di Dalam Skrip Anda

Salam Terhormat Buat Pembaca Sekelian…

Kebanyakan penulis baru yang ingin mula menulis sering kali terkeliru kerana saya difahamkan bahawa terdapat satu ‘version’ fahaman teknik menulis skrip dengan istilah-istilah teknikal yang mengarut dan sememangnya tidak perlu ditulis oleh penulis skrip kerana ini bukannya bidang tugas penulis skrip.

Bayangkanlah betapa cacatnya skrip tersebut apabila di’semak’kan dengan istilah teknikal shot kamera dan sebagainya seperti CU (Close Up), BCU (Big Close Up) dan macam-macamlah up-up yang lain. Ini sebenarnya hanya akan menyusahkan kita sebagai seorang penulis.

Sememangnya tidak salah sekiranya kita sebagai penulis mengetahui dan mengambil tahu semua istilah-istilah teknikal ini sekadar untuk menambah ilmu pengetahuan. Tetapi tidak perlulah kita masukkan istilah-istilah ini di dalam skrip kita kerana ia sememangnya itu bukanlah tugas kita sebagai penulis skrip. Namun begitu, jika setakat sedikit-sedikit yang mungkin kita rasakan perlu, boleh letak, saya tidaklah mengatakan ia tidak boleh langsung.

Sebenarnya dengan terlalu memikirkan istilah-istilah teknikal ini, akan mengakibatkan kreativiti anda untuk mengolah perjalanan cerita yang lebih menarik akan terbantut dan terjejas. Oleh yang demikian, saya mengesyorkan agar kita semua bebaskan diri kita dari belenggu istilah-istilah teknikal yang akan menjadi bebanan kita sebagai seorang penulis.

Bebaskan diri anda daripada perkara-perkara yang hanya akan menyusahkan diri anda… Jangan terperangkap di antara perkara yang penting dengan perkara yang terpenting… Menulislah dengan sepenuh hati… Selamat Berjaya…

*Betulkan jika saya tersilap… Kita sama-sama belajar…

Salam terhormat...

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Panduan Penyediaan Proposal Drama TV - Siri 1

Khamis, Julai 03, 2008

10 ulasan

Nak tahu cara buat proposal drama TV yang terkini? 

Klik link ini http://bit.ly/1nf6Joc

============================
Salam Bahagia Penuh Penghormatan...

Sejak saya memulakan topik Panduan Penulisan Skrip, saya selalu mendapat email dari ramai pembaca yang bertanya berkenaan dengan cara untuk mereka menghantar skrip dan cerita mereka ke Stesen TV. Mungkin masih ramai penulis baru yang tidak jelas dengan cara dan amalan yang selalu digunakan di negara kita.

Bagi drama TV perlu saya ingatkan di sini bahawa, tidak perlu kita membuat skrip penuh terlebih dahulu. Apa yang perlu kita sediakan ialah proposal bagi cerita yang kita nak buat itu. Proposal yang telah lengkap itu haruslah kita hantar kepada Produser di Syarikat Produksi pilihan kita supaya mereka boleh menghantar ke Stesen TV.


Sebenarnya tidak ada format khas bagi seorang penulis menyediakan proposal untuk syarikat produksi ini. Kita boleh buat mengikut kreativiti kita. Namun begitu, ada elemen-elemen penting yang perlu ada di dalam proposal tersebut yang kita tidak boleh tinggal dan mesti ada.
Kebanyakan format proposal yang perlu disediakan oleh penulis untuk produser sama saja bagi semua televisyen kecuali RTM. Ini kerana sejak RTM memperkenalkan sistem tender, cara penyediaan proposal yang perlu disediakan untuk RTM haruslah mengikut kehendak mereka. Biasanya RTM ada menyediakan format tersebut untuk rujukan penulis dan produser setiap kali tender dibuka. Oleh yang demikian sebaik-baiknya untuk RTM, penulis dan bakal penulis ikut format yang dikeluarkan pada waktu tender dibuka.

Apa yang ingin saya bincangkan di sini, saya ingin mengutarakan kaedah atau cara yang biasa digunakan oleh saya di dalam menyediakan proposal untuk drama TV bagi Stesen TV Rangkaian Media Prima dan Astro. Sekali lagi saya ingatkan bahawa setiap penulis itu ada cara mereka sendiri dan mungkin sedikit berbeza, cuma apa yang saya paparkan di sini ialah element yang perlu ada di dalam proposal tersebut.

Cara penyediaannya adalah seperti berikut.

1) Maklumat Produksi

Sila nyatakan sama ada Telemovie / Drama Berepisod?

Untuk : Nyatakan Stesen TV Mana? TV3? Astro Ria?
Slot Cadangan : Slot Apa? Cerekerama? Teleprima?
Tema : Nyatakan Tema. Contohnya Hari Raya, Hari Bapa?
Konsep : Kekeluargaan? Percintaan? Jenayah?
Sasaran : Umum

Tajuk : Apa Tajuknya?
Genre : Semi Heavy Drama? / Romantic Comedy?
Running Time : 90 Minit? 45 minit X 13 episod? 30 minit X 25 Episod
Oleh : Siapakah Anda?


2) Sinopsis / Storyline

Ini merupakan bahagian yang paling panjang yang anda akan tulis. Nyatakan dengan terperinci jalan cerita yang hendak kita buat. Tulis subjek kita dengan jelas dan terperinci untuk main plot dan sub plot.

Jika ia merupakan sebuah drama berepisod, sila nyatakan sekali sinopsis bagi setiap episod.


3) Watak dan Perwatakan
Senaraikan setiap watak di dalam cerita tersebut beserta perwatakannya sekali dan cadangan artis yang akan mendukung watak tersebut. Berilah dua atau tiga orang calon bagi setiap watak.

Asingkan antara Watak Utama dan Watak Pembantu supaya ia senang dilihat. Perwatakan bagi setiap watak haruslah ditulis dengan terperinci seperti usia, jantina, sifat, protagonis atau antagonis, hubungan dengan watak lain dan sebagainya.


4) Moral

Di ruangan ini, sila nyatakan moral dan pengajaran yang ingin anda sampaikan kepada penonton. Apakah mesej di sebalik cerita anda itu.


5) Cadangan Lokasi
Berikan cadangan lokasi yang anda fikirkan sesuai dan menarik.


6) Sasaran Penonton

Sila nyatakan siapakah sasaran penonton anda. Adakah remaja berusia 13 hingga 20 tahun? Atau dewasa 25 hingga 40 tahun dan sebagainya…

Propsal Tamat.

Di dalam menyediakan proposal ini, menjadi tanggungjawab kepada penulis untuk memastikan permintaan di dalam cerita tersebut tidak terlalu tinggi sehingga akan menelan perbelanjaan yang banyak. Ia perlu dielakkan dengan cara meminimumkan watak sama ada watak utama dan pembantu, pemilihan lokasi dan props yang tidak menelan perbelanjaan yang tinggi. Ini kerana pada kebiasaannya proposal yang akan menelan perbelanjaan yang banyak biasanya akan ‘dibakulsampahkan’ sebelum ia sempat sampai kepada stesen TV.
*Setelah proposal anda itu lengkap, maka mulalah berurusan dengan mana-mana produser yang anda rasakan boleh berurusan dengan anda. Berilah proposal tersebut kepada mereka untuk mereka nilai dan hantar ke stesen TV yang sepatutnya.

Sekian dulu untuk topik kali ini… Sila nantikan topik berikutnya… Jika ada sebarang kemusykilan silalah bertanya...

*Betul jika saya silap… Kita sama-sama belajar…

Salam Terhormat Penuh Kasih Sayang Sesama Insan…
Zaini Kosnin (Iniaz, K.)

Panduan Penulisan Skrip - Siri 4

1 ulasan
Dialog

Seperti yang telah saya maklumkan, topik kita yang berikut adalah DIALOG. Rasanya semua telah mengetahui apa itu dialogkan? Ia sebenarnya merupakan fungsi sesuatu watak. Jika kita memahami watak kita, dialog akan mudah membantu menghuraikan cerita atau lakon layar kita.

Dialog berfungsi untuk membawa penceritaan kita bergerak kehadapan. Sememangnya kita tahu bahawa filem atau drama bergerak di atas visual cerita, namun tidak dapat dinafikan bahawa dialog juga memainkan peranan penting di dalam proses penceritaan untuk memastikan filem atau drama kita dapat menarik minat penonton dan bergerak ke hadapan dengan sebaik mungkin.

Setiap mesej yang hendak kita sampaikan kepada penonton sebenarnya tidak semestinya kita menggunakan dialog untuk menyampaikannya, ini kerana selain daripada dialog kita juga boleh menyampaikan mesej melalui aksi dan tingkah laku non-verbal.

Sebenarnya dialog juga dapat mencerminkan elemen dramatik di dalam skrip kita. Oleh yang demikian di dalam memilih dialog sememangnya kita tidak boleh melupakan elemen dramatik supaya dialog itu akan menjadi salah satu faktor kekuatan bagi filem atau drama tersebut. Ini kerana kesilapan pemilihan dialog sebenarnya boleh menyebabkan ia menjadi faktor kelemahan filem atau drama tersebut.

Kadangkala di dalam pemilihan dialog kita akan menghadapi permasalahan di mana kita tidak tahu memilih kata-kata yang sesuai untuk dituturkan oleh watak sehinggakan kita berasa janggal dengan dialog yang telah kita buat itu.

Jangan khuatir, dengan masalah ini kerana pada kebiasaannya sememangnya kita akan berasa begitu pada awalan penulisan kita. Lama kelamaan kita akan biasa dengan perkara tersebut dan sedikit demi sedikit kita akan dapat memperbaiki dialog skrip kita itu.

Perlu diingatkan di sini, bahawa dialog yang kita buat itu seelok-eloknya janganlah terlalu panjang dan meleret-leret kerana ia hanya akan membosankan penonton. Kadang kala, saya sendiri sering kali melakukan kesilapan ini tanpa saya sedari kerana terlalu asyik menulis. Oleh yang demikian, saya selalu mengingatkan diri saya pada setiap kali ingin memulakan penulisan.

Sekarang apa yang perlu kita buat ialah cuba kita melihat beberapa buah filem dari genre yang berbeza dan cuba membuat perbandingan perbezaan dialog di dalam filem-filem tersebut. Kemudian cuba kita perhatikan pula orang-orang di sekitar kita menuturkan kata-kata mereka. Paling bagus cuba kita pergi ke pusat membeli belah, warung, restoran atau pun taman-taman rekreasi dan cuba kita lihat bagaimana mereka berkomunikasi cara verbal dan non-verbal…

Harap dapatlah berikan komentar bagi topik yang kita bincangkan ini. Betulkan jika saya silap… kita sama-sama belajar…

Salam

Zaini Kosnin (Iniaz, K.)