Nak Memimpin, Tak Perlu Jadi Pemimpin...

Rabu, Mac 20, 2013

1 ulasan

Menjadi ahli politik adalah salah satu cita-cita saya sewaktu di zaman kanak-kanak dan remaja (selain daripada produser). Masih ingat lagi ketika itu semangat darah muda sangat membara utk berjuang demi agama, bangsa dan negara, sehingga saya sanggup terlibat dengan sebuah parti politik seawal usia 16 tahun. Genap usia 18 tahun, terus daftar sebagai ahli parti berkenaan dan terus bergiat aktif sehingga memegang jawatan di peringkat cawangan dan berkerja dengan AJK di peringkat bahagian. Sehinggakan kawan-kawan di sekolah dan di universiti pun menggelarkan saya YB. Hingga kini pun masih ada yang panggil saya YB.

Abah saya bimbang dan kurang gemar dengan penglibatan saya di dalam arena politik. Saya tetap dengan pendirian saya kerana saya percaya bahawa perjuangan saya perlu utk memartabatkan agama, bangsa dan negara... Abah selalu berpesan, utk berjuang demi agama, bangsa dan negara tidak semestinya perlu masuk politik... Silap langkah politik hanya akan memecahbelah! Nak memimpin, tak perlu menjadi pemimpin.

Saya hanya ketawa mempersendakan apa yang abah cakap. Macam mana nak memimpin kalau tidak jadi pemimpin? Bagi saya abah tak faham. Satu hari nanti saya akan buktikan kepada abah bahawa perjuangan saya di dalam politik ini adalah satu perjuangan yang betul dan tidak sia-sia.

Saya tetap berdiri teguh dengan pendirian saya... Tak ada siapa dapat mengubah persepsi saya. Saya rasa apa yang saya buat betul. Sewaktu saya di universiti saya terus berpolitik, tanpa saya sedari saya telah dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu utk kepentingan mereka. Saya semakin kenal dengan politik dan 'orang politik'. Rentak langkah pencak mereka semakin saya halusi. Apa yang mereka mahu hanya menang, menang dan menang... Politik dah jadi macam pertandingan. Matlamat menghalalkan cara. Busuk ke, fitnah ke, dosa ke, kotor ke, jahat ke, apa saja yang boleh memberikan kelebihan kepada mereka, mereka buat! Asalkan menang. Perjuangan utk agama, bangsa dan negara mula diketepikan. 3 tahun saya di universiti macam sia-sia dengan perjuangan yang entah apa-apa. Saya rugi!

Lama kelamaan, saya mula penat kerana saya tak jumpa apa yang saya cari. Bukti utk saya tunjukkan kepada abah, langsung saya tak nampak bayang. Semakin lama saya rasa semakin jauh...

Lepas graduate saya bekerja di dalam industri perfileman dan penyiaran, namun politik tidak saya tinggalkan, cuma kurang aktif. Sehinggalah 12.12.2005 saya terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan saya terlantar selama 3 tahun dan menjadi cacat sehingga kini. Sepanjang 3 tahun saya terlantar, tak boleh jalan, saya banyak menonton TV dan melayari internet, dan yang paling best saya banyak membaca buku tentang macam-macam perkara. Saya juga semakin giat menulis skrip drama. Rutin hidup saya membaca, menonton TV, melayari internet dan menulis. Banyak yang saya belajar dan paling penting, saya mula belajar cara untuk berfikir.

Di waktu itu jugalah saya mula belajar berfikir, menilai dan mengenali politik di Malaysia dengan lebih mendalam. Lama kelamaan saya sedar, apa yang abah cakap selama ini betul. 'SILAP LANGKAH, POLITIK HANYA AKAN MEMECAHBELAH!'

Saya fikir dalam-dalam... Saya renung tajam-tajam... Ini rupanya jadi pada negara yang kita cintai ini. Ramai ahli politik yang tidak cukup ilmu berpolitik, mengangkat diri menjadi pemimpin, menawarkan diri utk jadi ketua, hingga sanggup melakukan apa saja. Kerana mereka, akhirnya politik yang sepatutnya menjadi medan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara menjadi racun busuk yang berbisa, memecahbelahkan bangsa hanya kerana ingin berkuasa. Saya rugi 3 tahun di universiti kerana mencari politik, Allah s.w.t kurniakan saya 3 tahun (waktu saya terlantar sakit) utk saya kenal politik.

Hari ini politik Malaysia dikuasai oleh ahli politik busuk dan jahat. Tiada lagi perjuangan suci dan murni, yang ada hanyalah agenda pemilikan kuasa utk kepentingan diri. Masing-masing nak jadi pemimpin yang kononnya pandai memimpin.

Hingga kini, saya tidak dapat buktikan pun bahawa apa yang saya perjuangkan di dalam politik itu betul, kepada abah. Tapi abah dah pun buktikan kepada saya bahawa apa yang dia cakap selama ini betul! Saya kembali kepada apa yang abah pesan, NAK MEMIMPIN, TAK PERLU JADI PEMIMPIN.

Tahun 2009 lepas boleh jalan semula, saya kembali ke Kuala Lumpur dan belajar berniaga di dalam bidang produksi. Tahun 2011, saya berjaya mencapai cita-cita saya menjadi seorang produser tanpa saya berhenti daripada menulis. Melalui karya saya, sama ada saya terbitkan atau pun hasil tulisan saya, akhirnya saya dapat menyumbang sesuatu kepada masyakarat. Saya tidak anggap ia sebagai pimpinan kepada masyarakat, tapi sebagai perkongsian bersama dari manfaat kebaikan dan peringatan keburukan setiap karya yang dihasilkan. Rupa-rupanya itulah yang abah maksudkan 'NAK MEMIMPIN, TAK PERLU JADI PEMIMPIN'.

Saya bersyukur kerana cita-cita saya untuk menjadi ahli politik tidak tercapai, dan saya benar-benar bersyukur dengan pekerjaan saya sebagai seorang produser kini, banyak yang saya dapat kongsi dengan seluruh rakyat Malaysia.

Saya tak kata kita tidak perlu politik. Kita perlu! Tanpa politik mungkin negara tidak akan boleh ditadbir. TETAPI sebagai rakyat, apa yang kita perlukan ialah politik yang bersih dan sihat! Kita tak mahu negara yang kita cintai ini dicemari oleh pemain-pemain politik kotor dan busuk. Hentikanlah budaya fitnah, rasuah dan segala macam taktik busuk dalam permainan politik. Politik bukan satu pertandingan tapi ia adalah satu perjuangan... Marilah kita sama-sama berdoa supaya negara kita bebas dari politik busuk dan kotor ini. Semoga Allah s.w.t sentiasa melindungi kita dan negara kita dari manusia-manusia jahat ini...

Kami rakyat Malaysia menolak politik busuk dan kotor!!!

Zaini Kosnin - 19 Mac 2013 - 10.26 malam - Kuala Lumpur