Nur Di Jiwa Harina

Isnin, Disember 28, 2009

1 ulasan
Assalamua'laikum...

Sekarang ini saya masih lagi menguruskan penerbitan telemovie Nur Di Jiwa Harina untuk TV3... Harap rakan-rakan dapat doakan projek ini berjalan dengan lancar...


Salam sayang...

Zaini Kosnin

Konsep Garis Cerita?

Sabtu, Disember 19, 2009

7 ulasan
Konsep Garis Cerita? Ada juga orang menyebutnya Storyline Concept. Apa itu? Itu adalah satu garisan yang digunakan untuk menentukan sesebuah cerita. Jika dulu, sewaktu kita sekolah rendah, cikgu ada mengajar kita bagaimana hendak menghasilkan sebuah karangan yang baik. Biasanya, ia mesti mempunyai Pengenalan, Isi dan Penutup.

Ini adalah kemahiran asas di dalam menentukan penulisan sesebuah cerita. Sama juga dengan penulisan skrip drama, telemovie atau pun filem. Konsep ini dipanggil Konsep Garis Cerita.

Di dalam konsep ini, terdapat beberapa perkara yang mesti dipatuhi untuk menghasilkan sebuah skrip yang bagus. Di antaranya adalah:

1) Permulaan
- Bagaimana ia bermula. Apa yang berlaku dan apakah pencetus kepada permulaan cerita tersebut.

2) Konflik
- Bagaimana konflik boleh bermula dan apakah pencetus kepada konflik tersebut. Untuk mencantikkan sesebuah skrip, pencetus kepada konflik ini mestilah mempunyai perkaitan dengan permulaan.

3) Klimaks
- Sebelum masuk ke klimaks, pertama sekali mestilah ada pencetus kepada wujudnya klimaks. Apakah perkara yang berlaku sehingga keadaan mendorong ke arah tercetusnya klimaks.

4) Pencetus Kesimpulan / Penutup
- Setelah cerita sampai ke tahap paling klimaks, penulis perlu mewujudkan pencetus kepada penyelesaian masalah ataupun kesimpulan untuk Penutup.

5) Penutup
- Di akhir cerita, bagaimana cerita berakhir... Apakah kesimpulan yang boleh dibuat...

Paling penting sekali, sebagai seorang penulis skrip, kita perlu memahami bahawa kita menulis untuk divisualkan. Bukan untuk menulis cerita untuk dibaca. Oleh yang demikian, bayangan visual di dalam fikiran kita amat penting ketika menulis dan apa yang penting, kita tahu bahawa gambarankan itu, boleh divisualkan...

Nanti kita sambung lagi ya...

Salam Ukhwah Penuh Kasih Sayang...


Zaini Kosnin

Keagungan Allah

Khamis, Disember 17, 2009

2 ulasan
Assalamua'laikum...

Rakan-rakan seperjuangan dan seagama sekelian... Di harap kita semua akan sentiasa di dalam perlindungan dan sentiasa mendapat rahmat Allah s.w.t. Allah s.w.t itu Maha Agung lagi Maha Berkuasa akan sesuatu. Sesungguhnya tidak ada dan tidak akan ada sesuatu pun di dalam dunia ini dapat menandingi-Nya.

Inilah perkara yang perlu ditekankan di dalam hati kita sebagai umat Islam yang telah dipilih oleh Allah s.w.t untuk berada di atas jalan-Nya. Sebagai penulis yang selalu menyampaikan dan berkongsi cerita kepada pembaca atau penonton, seelok-eloknya kita hendaklah sentiasa menyelitkan tentang keagungan Allah s.w.t di dalam setiap karya kita dengan tujuan untuk mengingatkan pembaca dan penonton serta diri kita sendiri tentang hakikat kekuasaan Allah s.w.t ini.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk atas berlagak pandai, tetapi dengan harapan jika ada diselitkan unsur-unsur usaha agama ini, maka sekurang-kurangnya mudah-mudahan karya kita tidak diklasifikasikan sebagai karya yang melalaikan dan menyeru ke arah kemaksiatan.

Alangkah indahnya jika kita sebagai umat Islam mengambil tanggungjawab ini. Sekurang-kurangnya, kita dapat menyumbang untuk Islam dan kita tidak akan digolongkan di dalam golongan orang-orang yang rugi kerana tidak menyampaikan atau mengingatkan ke arah kebaikan...

Sekian... Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk dari Allah s.w.t.


Salam ukhwah penuh kasih sayang...


Zaini Kosnin

SWAM

Isnin, Disember 14, 2009

2 ulasan
Assalamua'laikum...

SWAM? Persatuan Penulis Skrin Malaysia... Itulah satu-satunya persatuan yang memperjuangkan nasib Penulis Skrip / Skrin di Malaysia...

Setelah hampir 8 tahun berkecimpung di arena produksi dan perfileman, akhirnya Allah s.w.t telah memberikan saya kekuatan untuk mengambil borang bagi tujuan mendaftarkan diri dengan SWAM.

Mungkin ramai di luar sana rakan-rakan penulis yang masih tidak berdaftar atau pun enggan berdaftar. Entah kenapa, saya tak tahu. Tapi pada pandangan saya, ada baiknya juga jika kita dapat bersatu hati, bernaung di bawah satu persatuan.

Tidak ada apa-apa harapan atau agenda, sekadar menjadikan ia sebagai pelengkap diri dan menghargai apa yang telah diusahakan oleh penulis-penulis terdahulu. Kata orang, jangan sombong dan bongkak, nanti orang tak suka. Kalau susah orang tak nak tolong.

Fikir positif, sekurang-kurangnya dengan berdaftar kepada SWAM, kita dapat berkenalan dengan berkongsi pendapat dengan penulis-penulis lain. Kadang kala, pandangan kita di dalam ilmu penulisan ni tak semestinya betul. Sebab itulah kita perlu pandangan orang lain sama. Paling kurang pun kalau kita daftar, kita ada nombor keahlian SWAM. Apa salahnya. Ya tak?

Jom kita daftar... jangan nanti dah ditimpa macam-macam masalah, baru nak merendah diri mengadu pada SWAM.... Hehehe....

Orang dan sediakan tempat, kita pergi sajalah... Ya tak?

Ok... Semoga rakan-rakan semua sentiasa di dalam perlindungan Allah s.w.t... Amin...


Zaini Kosnin.

Tanggungjawab Penulis Skrin Muslim

Ahad, Disember 13, 2009

2 ulasan
Assalamua'laikum...

Rakan-rakan yang dihormati sekelian. Menulis cerita sama ada untuk diterbitkan untuk media cetak atau pun divisualkan untuk drama dan filem adalah satu tanggungjawab yang besar. Menyampaikan satu-satu cerita dengan tujuan atas empat perkara iaitu menyampaikan mesej, mendidik, menghibur dan memujuk.

Namun begitu, di dalam keempat-empat perkara ini, kadang kala kita sering kali terlupa akan tanggungjawab kita hingga kita terlalu fokus pada mencari keuntungan semata-mata. Sehingga kita lalai dan tanpa kita sedari kita telah mempengaruhi pembaca atau menonton kepada perkara-perkara yang negatif.

Saya bukanlah seorang yang bercakap pandai, namun seringkali saya terfikir betapa bodohnya kita sebagai seorang penulis tidak menggunakan kesempatan yang kita ada untuk beramal melalui dakwah di dalam penulisan kita. Tidak semua penulis begitu, tetapi kebanyakannya lebih suka memilih sesuatu yang melalaikan untuk disampaikan berbanding dengan berdakwah ke arah kebaikan. Dengan alasan permintaan dari orang ramai dan kehendak pasaran.

Saya tidak berani untuk menyatakan itu semua satu kesalahan, tetapi saya tahu betapa ruginya golongan penulis yang menyeru penonton atau pembaca secara tidak sengaja ke arah kemaksiatan, ke arah perkara-perkara syirik dan ke arah kebodohan...

Fikir-fikirkanlah...

Salam Ukhwah Penuh Kasih Sayang...


Zaini Kosnin

Wajah Baru, Harapan Baru

4 ulasan
Assalamua'laikum...

Alhamdulillah, setelah sekian lama saya menyepikan diri, kini Allah telah memberikan kekuatan dan kelapangan untuk saya meluangkan sedikit masa menulis blog ini kembali...

Kini, blog ini telah pun berubah wajah... dengan wajah baru ini, saya berharap agar mendapat harapan baru untuk meneruskan usaha menulis, menyampaikan dan berdakwah melalui medium dan saluran yang saya gunakan selama ini...

Diharap, rakan-rakan sekalian dapat terus memberikan dorongan dan sokongan untuk saya terus berusaha melakukan segala tanggungjawab saya selama ini...

Sokongan dari anda semua, amat saya hargai...

Salam Ukhwah Penuh Kasih Sayang...