Dialog
Seperti yang telah saya maklumkan, topik kita yang berikut adalah DIALOG. Rasanya semua telah mengetahui apa itu dialogkan? Ia sebenarnya merupakan fungsi sesuatu watak. Jika kita memahami watak kita, dialog akan mudah membantu menghuraikan cerita atau lakon layar kita.
Dialog berfungsi untuk membawa penceritaan kita bergerak kehadapan. Sememangnya kita tahu bahawa filem atau drama bergerak di atas visual cerita, namun tidak dapat dinafikan bahawa dialog juga memainkan peranan penting di dalam proses penceritaan untuk memastikan filem atau drama kita dapat menarik minat penonton dan bergerak ke hadapan dengan sebaik mungkin.
Setiap mesej yang hendak kita sampaikan kepada penonton sebenarnya tidak semestinya kita menggunakan dialog untuk menyampaikannya, ini kerana selain daripada dialog kita juga boleh menyampaikan mesej melalui aksi dan tingkah laku non-verbal.
Sebenarnya dialog juga dapat mencerminkan elemen dramatik di dalam skrip kita. Oleh yang demikian di dalam memilih dialog sememangnya kita tidak boleh melupakan elemen dramatik supaya dialog itu akan menjadi salah satu faktor kekuatan bagi filem atau drama tersebut. Ini kerana kesilapan pemilihan dialog sebenarnya boleh menyebabkan ia menjadi faktor kelemahan filem atau drama tersebut.
Kadangkala di dalam pemilihan dialog kita akan menghadapi permasalahan di mana kita tidak tahu memilih kata-kata yang sesuai untuk dituturkan oleh watak sehinggakan kita berasa janggal dengan dialog yang telah kita buat itu.
Jangan khuatir, dengan masalah ini kerana pada kebiasaannya sememangnya kita akan berasa begitu pada awalan penulisan kita. Lama kelamaan kita akan biasa dengan perkara tersebut dan sedikit demi sedikit kita akan dapat memperbaiki dialog skrip kita itu.
Perlu diingatkan di sini, bahawa dialog yang kita buat itu seelok-eloknya janganlah terlalu panjang dan meleret-leret kerana ia hanya akan membosankan penonton. Kadang kala, saya sendiri sering kali melakukan kesilapan ini tanpa saya sedari kerana terlalu asyik menulis. Oleh yang demikian, saya selalu mengingatkan diri saya pada setiap kali ingin memulakan penulisan.
Sekarang apa yang perlu kita buat ialah cuba kita melihat beberapa buah filem dari genre yang berbeza dan cuba membuat perbandingan perbezaan dialog di dalam filem-filem tersebut. Kemudian cuba kita perhatikan pula orang-orang di sekitar kita menuturkan kata-kata mereka. Paling bagus cuba kita pergi ke pusat membeli belah, warung, restoran atau pun taman-taman rekreasi dan cuba kita lihat bagaimana mereka berkomunikasi cara verbal dan non-verbal…
Harap dapatlah berikan komentar bagi topik yang kita bincangkan ini. Betulkan jika saya silap… kita sama-sama belajar…
Salam
Zaini Kosnin (Iniaz, K.)
1 ulasan:
Telenovela import biasanya dialog pendek2 supaya penonton tak bosan. Betulkah begitu?
Catat Ulasan